Lukisan epik pahlawan Melaka dipamerkan di Perkampungan Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 8 Dis – Kerajaan negeri menerima 17 lukisan berkisarkan penceritaan sejarah pahlawan lima bersaudara pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dihadiahkan oleh mantan Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, di sini semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam ucapan ketika menerima lukisan berkenaan berkata, kerajaan negeri berbesar hati menerima lukisan yang cukup berharga dari segi penceritaan dan nilai sejarahnya.

“Bagi menghargai sumbangan lukisan berkenaan, kerajaan Melaka akan mempamerkan kesemua lukisan itu di Perkampungan Hang Tuah di Duyong bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri serta menghayati keindahan nilai estetika lukisan terbabit,” katanya.

Terdahulu, beliau menerima semua lukisan tersebut yang dihasilkan pelukis tersohor negara, Ismail Embong di Pejabat Ketua Menteri, di sini.

Turut hadir, bekas Ketua Menteri Melaka keenam, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Sementara itu, Ahmad Sarji ketika ditemui sejurus menyerahkan lukisan tersebut berkata, beliau menerima 20 lukisan hasil karya Ismail daripada seorang dermawan yang bermurah hati untuk menghadiahkan seni lukisan itu kepadanya berikutan minatnya yang mendalam terhadap seni lukisan.

Berikutan itu, bagi memastikan epik sejarah pahlawan Melayu Melaka, 17 daripada lukisan itu wajar ditempatkan di lokasi sewajarnya di negeri ini di mana bermulanya pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

“Apabila memperolehi koleksi ini, dalam ingatan saya adalah melaka, kerana di sini bertapaknya ‘Malay civilisation’ (tamadun Melayu) di sini, (di mana) bermulanya pemerintahan Sultan di sini dan Hang Tuah termasuk (dalam sejarah itu).

“Semua sejarah silam dan ‘the regeneration of history’ (penjanaan semula sejarah), perlu dikembalikan semula, jadi tempat yang sesuai untuk menempatkan lukisan ini adalah Melaka,” katanya.

Enggan mendedahkan nilai sebenar lukisan tersebut, Ahmad Sarji berkata lukisan itu mempunyai nilai yang tinggi dan beliau tidak mahu ia jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan hasil karya tersebut.

“Berapa pun nilainya, biarlah dirahsiakan, hari ini mungkin ia berharga satu ringgit, esok mungkin tidak ternilai,” katanya.

Views:

2344
Kongsi :
Previous post Penerokaan REE ancam keselamatan bekalan air Perlis, Kedah dan Pulau Pinang
Next post Brunei diharap pertimbang wujud Laluan Hijau Timbal Balik – Muhyiddin
Ubah saiz-+=