KUAM 2024 LEBIH MERIAH
AYER KEROH 14 Oktober – Usaha menarik lebih ramai pelancong ke Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) diteruskan dengan penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 pada 31 Oktober hingga 3 November depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata KUAM 2024 akan membawa kelainan berbanding edisi sebelum ini.
Katanya, pelbagai aset udara baharu akan dipamerkan dengan penglibatan pelbagai agensi Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan bidang penerbangan.
“KUAM 2024 akan berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). Antara kelainan KUAM 2024 adalah kita tambah pertunjukan udara yang melibatkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan persatuan penerbangan tempatan.
“Bagi penganjuran KUAM 2024 ini, kita mensasarkan 100,000 pengunjung akan hadir sepanjang enam hari acara berlangsung,” katanya pada sidang media International Cultural and Arts Festival@Sungai Melaka (ICAF) 2024 di Kota Cemerlang di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.