Sorting by

×

RANGKA PENYELESAIAN JANGKA PENDEK DAN PANJANG ATASI BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MERLIMAU 14 Oktober – Langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang dirangka bagi mengatasi isu banjir kerap melanda di beberapa lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Serkam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, bencana seperti di Kampung Kilang Berapi merupakan perkara luar jangka kerana kawasan itu sudah tidak tahun tidak dilanda banjir.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan memastikan kebajikan mangsa di DUN itu akan terus diberi perhatian segera menerusi agensi dan jabatan terlibat.

“Saya difahamkan oleh penduduk bahawa bencana yang berlaku kali ini adalah banjir yang terburuk pernah dialami mereka selepas tiga tahun.

“Semua ini adalah perkara luar jangka, taburan hujan yang tinggi sejak awal pagi semalam ditambah pertembungan pasang surut air mengakibatkan limpahan di Sungai Merlimau kemudian menjejaskan penempatan sekitarnya.

“Malah, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sedang disiapkan di kawasan ini juga ditenggelami bah yang melanda,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub (SDARY), di sini, hari ini.

Rais berkata, setakat ini banjir yang melanda bukan disebabkan oleh projek pembangunan yang berlaku di kawasan terbabit.

Namun begitu katanya, Kerajaan Negeri menerusi agensi dan jabatan terlibat akan terus melakukan pemantauan bagi mencari penyelesaian agar bencana sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Paling penting pada ketika ini adalah kebajikan semua mangsa di PPS, kita akan pastikan mereka dalam keadaan selesa, cukup makan dan minum serta segala keperluan disediakan sepanjang berada di sini,” katanya.

Setakat jam 4.30 petang tadi 79 keluarga melibatkan 328 mangsa dari Kampung Kilang Berapi, Merlimau dan Lubok Buaya, Serkam masih berada di tiga PPS.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

164
Kongsi :
Previous post LEBIH 100 KENDERAAN ELEKTRIK BERDAFTAR DI MELAKA
Next post 50,000 DIJANGKA MERIAHKAN ICAF 2024
Ubah saiz-+=