FESTIVAL SENI SELAT MELAKA DAN FESTIVAL SUNGAI MELAKA SERIKAN ICAF 2024
AYER KEROH 14 Oktober – Festival Seni Selat Melaka 2024 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negeri (JKKN) Melaka dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia akan diadakan pada 25 hingga 27 Oktober depan di Dataran Pengkalan Rama.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, festival ini akan menjadi salah satu pengisian bagi acara International Cultural and Arts Festival (ICAF) 2024.
Katanya, festival ini akan diisi dengan persidangan Seni Selat Budaya Selat Melaka, Cabaran Diabolo, Cabaran Senam Seni, Pertandingan Mewarna Cintai Sungai Kita, Pertandingan Melukis Lukisan Gubahan Fikiran, Voice Of Selat Melaka dan banyak lagi.
“Objektif utama program ini adalah untuk menyerlahkan keunikan seni budaya dan warisan di negeri-negeri dan rantai perairan Selat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media International Cultural and Arts Festival@Sungai Melaka (ICAF) 2024 di Kota Cemerlang di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron.
Dalam pada itu, Abdul Razak memaklumkan bersempena ICAF 2024, turut diadakan Festival Sungai Melaka 2024 bermula 21 hingga 27 Oktober di Dataran Pengkalan Rama.
Jelasnya, antara pengisian adalah Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Neon Fun Walk, Pertandingan Kayak Sungai Melaka serta pelbagai lagi.
“Majlis Perasmian ICAF 2024 akan diadakan pada 26 Oktober dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya,
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.