Penerokaan REE ancam keselamatan bekalan air Perlis, Kedah dan Pulau Pinang

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

GEORGE TOWN 7 Dis. – Penerokaan mineral elemen nadir bumi (REE) berskala besar di kawasan tadahan Ulu Muda termasuk Sik dan Baling di Kedah yang permitnya diluluskan oleh kerajaan Kedah, akan menjejaskan bekalan air untuk 4.2 juta penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jaseni Maidinsa berkata ini kerana kawasan tadahan air di Ulu Muda ialah penghubung pertama dalam rangkaian nilai bekalan air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang memenuhi keperluan air penduduk dan perniagaan di tiga negeri berkenaan.

“Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda manakala lebih daripada 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh PBAPP dari Sungai Muda, di muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang, berasal dari Ulu Muda.

“Justeru, Ulu Muda tidak dapat terus berfungsi sebagai kawasan tadahan air semula jadi utama untuk tiga negeri NCER jika hutan hujannya ditebang, bukitnya diratakan dan landskapnya dicalarkan oleh operasi perlombongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi perlombongan berskala besar itu juga akan menghasilkan sejumlah besar sisa toksik, serpihan dan tanah yang tercemar yang membawa kepada impak buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan.

“Operasi tersebut akan menyukarkan proses untuk melupuskan produk sampingan serta mencemarkan dan kontaminasi sistem air permukaan di Lembangan Sungai Muda di samping menjejaskan ribuan perniagaan yang berusaha untuk menghidupkan semula operasi mereka ketika pandemik global COVID-19,” tambahnya.

Sehubungan itu beliau menggesa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (NRE) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bekerjasama untuk menghentikan usaha yang disifatkannya sebagai berbahaya tersebut pada kadar segera.

“KASA, NRE dan MKN mesti memastikan bahawa Kedah tidak membahayakan keselamatan bekalan air negeri NCER iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, yang menyumbang sekitar RM147.8 bilion pada  2019 dan mata pencarian sebanyak 4.2 juta orang,” katanya.

— BERNAMA

Views:

1908
Kongsi :
Previous post 16 Hutan Simpan Kekal di Kelantan diceroboh pembalak haram
Next post Lukisan epik pahlawan Melaka dipamerkan di Perkampungan Hang Tuah
Ubah saiz-+=