Sorting by

×

UTEM TAWAR BIASISWA ANAK EMAS, PAKEJ KEBAJIKAN BANTU PELAJAR ASNAF

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 14 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah meraikan enam pelajar baharu sesi 2024/2025 dalam kategori asnaf pada satu majlis ringkas di Dewan Besar UTeM, baru-baru ini.

Majlis itu diadakan bertujuan menyerahkan Biasiswa Anak Emas dan bantuan kebajikan komprehensif UTeM dalam memastikan pelajar-pelajar kurang berkemampuan dapat menyambung pengajian dengan selesa dan mengubah nasib keluarga.

Majlis penyerahan sumbangan biasiswa dan inisiatif Kebajikan telah disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dan turut dihadiri Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Dekan fakulti dan pengurusan tertinggi yang lain.

Pihak UTeM telah bermurah hati untuk menawarkan Biasiswa Anak Emas kepada dua pelajar baharu iaitu Dharshini Subramaniam dan Nur Hidaayah Masri.

Kedua-dua penerima itu merupakan pelajar miskin tegar dan turut kehilangan tempat bergantung, selain penjaga mereka kehilangan pendapatan seharian disebabkan sakit dan tidak berupaya untuk bekerja.

Kedua-dua penerima Biasiswa Anak Emas itu akan menerima enam faedah sepanjang pengajian iaitu akan dianggung keseluruhan yuran pengajian sehingga tamat pengajian, diberikan wang saraan hidup bulanan sebanyak RM500 dan turut menerima RM1,500 sebagai wang awal pengajian.

Selain itu, mereka juga menerima seunit komputer riba setiap seorang, bantuan segera melalui Food Bank, tempat tinggal di asrama sehingga tamat pengajian serta bimbingan kerjaya dan kaunseling.

Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Yayasan Perkasa Siswa, turut bersetuju memberi sumbangan tambahan sebanyak RM500 seorang yang akan disampaikan dalam masa terdekat bagi membantu mengurangkan beban kedua-dua pelajar ini.

Manakala seorang pelajar baharu asnaf iaitu Nurul Balqis Hairulnizam akan ditawarkan biasiswa TVET B40 di bawah kendalian pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Melalui biasiswa ini, Nurul Balqis Hairulnizam akan dibiayai sepenuhnya yuran pengajian dan turut diberi wang saku, selain menerima seunit komputer riba untuk membantunya sepanjang pengajian di UTeM.

Pada majlis sama, pihak universiti turut menyantuni kumpulan pelajar B40 yang terkesan disebabkan perlu mencari rumah sewa di luar kampus mulai sesi kemasukan Oktober sesi 2024/2025 dengan memberikan sumbangan RM250 seorang bagi membantu membayar wang pendahuluan rumah sewa.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berharap semua penerima biasiswa dan inisiatif dapat memanfaatkan pemberian tersebut dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan dan seterusnya dapat merubah kehidupan keluarga di masa hadapan.

Ujar Massila lagi, semua penerima biasiswa dan inisisatif hari ini merupakan aset TVET yang berharga.

“Mereka ini perlu diberi sokongan sepenuhnya supaya kumpulan pelajar ini dapat meraih cita-cita yang diidamkan seterusnya akan menyumbang kepada pembangunan negara di masa hadapan.

“Semoga bantuan yang disalurkan ini akan menjadi dorongan yang kuat buat mereka menamatkan pengajian dengan cemerlang di peringkat pengajian masing-masing,” katanya.

Semntara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, semua mahasiswa baharu akan diberi bantuan kebajikan sebaik-baiknya terutama kepada pelajar yang tergolong keluarga B40.

Beliau bertekad untuk proaktif membantu pelajar baharu dengan turun padang sekerap mungkin bagi memastikan setiap keperluan pelajar dapat dipenuhi dan seterusnya memastikan pelajar akan terus fokus belajar untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam akademik masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

138
Kongsi :
Previous post MASJID AL JAWAHIR DAPAT BUMBUNG BAHARU
Next post GTP KAWASAN PERINDUSTRIAN BERTARAF DUNIA
Ubah saiz-+=