16 Hutan Simpan Kekal di Kelantan diceroboh pembalak haram

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KOTA BHARU 7 Dis. – Sebanyak 16 daripada 37 Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan dikesan diceroboh pembalak haram bagi mendapatkan kayu bernilai tinggi sejak lima tahun lepas.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Abdul Khalim Abu Samah berkata daripada 16 kawasan HSK yang diceroboh itu, kebanyakannya berlaku di jajahan bahagian timur Kelantan.

Beliau berkata malah terdapat kumpulan pembalak haram itu turut terdiri daripada penduduk setempat, bagaimanapun, kegiatan pencerobohan itu masih terkawal kerana hanya melibatkan kumpulan yang kecil.

“Setakat ini, kita kesan ada 10 kumpulan yang melakukan kegiatan itu dan sebahagian daripadanya telah ditahan serta jentera dan peralatan mereka dirampas,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalim berkata kumpulan tersebut kebiasaannya mencari kayu berharga di hutan sebelum menebang dan membelahnya untuk dijual.

“Kumpulan ini biasanya amat berkemahiran kerana mampu membelah kayu hanya menggunakan mesin gergaji tidak sepertimana yang digunakan di kilang kayu,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, jabatannya mengesan 27 kes pembalakan haram di negeri ini sejak Mac lalu.

Menurutnya, kegiatan tersebut membabitkan kawasan HSK di Lebir, Ulu Sat dan Ulu Galas, masing-masing terletak di jajahan bahagian timur dan selatan di Kelantan.

“Dalam operasi terbaru bulan lalu, pihak jabatan telah merekodkan tiga kes iaitu dua di Jeli dan satu kes di Tanah Merah.

“Kes ini melibatkan pencerobohan HSK dan pemilikan kayu yang tidak berdaftar oleh sebuah kilang kayu di Tanah Merah dan disyaki mendapatkannya daripada sumber tidak sah,” tambahnya.

— BERNAMA

Views:

937
Kongsi :
Previous post Kehadiran pelancong ke Malaysia merosot
Next post Penerokaan REE ancam keselamatan bekalan air Perlis, Kedah dan Pulau Pinang
Ubah saiz-+=