‘INGAT PENGORBANAN IBU BAPA, SEDIA BANGUNKAN JATI DIRI’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 14 Oktober – Menyelami pengorbanan dan kesusahan ibu bapa yang tiada bandingan sehingga berjaya mendidik anak-anak ke menara gading, perlu diinsafi oleh semua mahasiswa dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menggenggam segulung ijazah, seterusnya mengubah hidup keluarga di masa hadapan.

Itulah kata-kata semangat yang ditiupkan Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri semasa menyampaikan ucapan perasmian Minggu Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar Baharu Sesi 2024/2025 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Menurut beliau, semua mahasiswa yang terpilih ke UTeM pada kali ini merupakan bakat TVET terbaik negara yang akan menzahirkan kecemerlangan akademik dan keunggulan sahsiah secara holistik.

“Saya berharap agar siswa-siswi baharu ini akan bakal menjadi insan yang bukan sahaja hebat dari aspek fizikal, namun mantap minda dan luhur pekertinya,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin meminta 3,498 pelajar baharu untuk segera menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang semakin kompleks dan terkini.

“Jadikan peluang keemasan belajar di UTeM ini sebagai lapangan untuk mengasah kemahiran TVET, menuntut ilmu dan berikan pulangan yang terbaik terhadap kemajuan dan pembangunan diri sendiri, keluarga, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif pula memaklumkan semua mahasiswa baharu UTeM tidak akan sesekali diabaikan daripada aspek kemudahan kebajikan, apatah lagi yang menghadapi kekangan kewangan dan datang dari keluarga B40.

“Bagi pelajar yang menghadapi masalah kewangan, terdapat Bahagian Kebajikan Pelajar di Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) yang bertanggungjawab memberi bantuan melalui Tabung Kebajikan Pelajar dan Tabung-Tabung Zakat. Terdapat hampir 15 bantuan kebajikan yang boleh diberikan kepada pelajar yang memerlukan.

“Pihak UTeM juga turut menyediakan Tabung Pinjaman Universiti untuk tujuan membantu pelajar selain pemberian Food Bank penyediaan makanan percuma,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

64
Kongsi :
Previous post SITA TERNAKAN JIKA DIKESAN BERKELIARAN DI KAWASAN AWAM
Next post PIALA TUN TEJA JADI ACARA TAHUNAN
Ubah saiz-+=