‘AIR FORCE’ MASUK KAMPUNG

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TANJUNG BIDARA 13 Oktober – Hasil inovasi dan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam bidang kejuruteraan menarik perhatian  pengunjung hadir  ke Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Alor Gajah Tahun 2024 di Japerun Tanjung Bidara hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pameran itu dijayakan pegawai dan anggota Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace (PUSPEKA) TUDM, dari Pangkalan Udara Subang, Selangor.

“Program Jiwa Murni Bersama UDM 2024 ini turut melibatkan 250 pelajar dari Sekolah Menengah Kabangsaan (SMK) Ghafar Baba, SMK Sultan Alauddin, SMK Lubok China, SMA Ehya El-Karem dan SMK Pernu.

“Saya dimaklumkan, terdapat pelbagai pengisian menarik antaranya, pameran model-model aset pesawat TUDM dan aktiviti ‘Hands On’ yang melibatkan Cawangan Aerodinamik, Cawangan Elektronik dan Cawangan Senjata PUSPEKA,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Alor Gajah Tahun 2024 di Japerun Tanjung Bidara.

Hadir sama  pada sambutan itu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Yang turut hadir Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abd Azis, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah serta Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.

Menurutnya, selain melihat pameran dan perkongsian maklumat mengenai peralatan canggih digunakan, turut berlangsung sesi ceramah serta kerjaya untuk menarik belia menyertai TUDM selepas tamat persekolahan.

Malah Ketua Menteri, menaruh keyakinan pelaksanaan pameran ketenteraan mampu mewujudkan interaksi dan semangat para pelajar terhadap organisasi pertahanan selain memupuk hubungan baik antara warga pertahanan dan Komuniti awam.

“Besar harapan saya, semoga program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan seluruh lapisan masyarakat bagi memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti desa bersama
pemimpin tempatan, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post MELAKA KOMITED TINGKAT TARAF KESIHATAN RAKYAT
Next post RM1.45 JUTA GANTI BUMBUNG MASJID AL JAWAHIR
Ubah saiz-+=