SUKAN MENYATUKAN RAKYAT MELAKA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 13 Oktober – Pembangunan sukan secara inklusif akan terus diperkasakan di Negeri Melaka dalam memastikan kesejahteraan dan perpaduan rakyat dapat diperkukuh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang membudayakan sukan.

Ujarnya, hasrat pemerkasaan itu juga selari dengan Kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030).

“Menyedari kepentingan sektor sukan ini, Kerajaan Negeri komited ke arah memperkasa program-program pembangunan sukan secara inklusif bagi melahirkan lebih ramai masyarakat yang sihat, aktif dan sejahtera.

“Kerajaan negeri akui bahawa sukan juga merupakan satu indikator utama bagi menjamin kesepaduan rakyat selain menjadi antara penyumbang sinergi pembangunan ekonomi menerusi pemerkasaan sektor industri sukan seiring dengan perkembangan di peringkat global.

“Saya berpendapat, tema ‘CERGAS BERSAMA’ yang diangkat pada tahun ini sangat relevan dengan konsep pelaksanaannya kali ini yang mencakupi penglibatan seluruh rakyat selari dengan gagasan Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Melaka 2024 di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.

Pada majlis itu, Ab Rauf telah menyempurnakan gimik pelepasan kira-kira 10,000 peserta yang menyertai tiga acara larian iaitu Larian Ria Madani, Night Run dan Family Walk.

Secara keseluruhan, kira-kira 20,000 peserta telah memeriahkan sambutan HSN Negeri Melaka yang diadakan sejak pagi tadi secara serentak di kesemua tiga daerah di negeri ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kemeriahan sambutan HSN di Melaka telah menterjemahkan semangat perpaduan rakyat yang bersatu dalam acara sukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

71
Kongsi :
Previous post 20,000 ORANG MELAKA GAMATKAN HARI SUKAN NEGARA
Next post LUASKAN PASARAN AIR KOTAK BUAH MELAKA
Ubah saiz-+=