MBMB KESAN PEMILIK BANGUNAN RUNTUH
MELAKA, 11 Okt – Kerajaan negeri mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, bagi mencari pemilik sebenar bangunan yang runtuh hingga meragut nyawa seorang pekerja warga Bangladesh, petang semalam.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Datuk Rais Yasin berkata beliau difahamkan, pemilik bangunan tersebut kini menghilangkan diri apabila insiden yang turut mencederakan dua lagi pekerja warga Pakistan, berlaku.
Beliau berkata pihaknya juga dimaklumkan bahawa, pembinaan tersebut bukan sahaja melanggar segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembinaan, malah tiada aduan mengenai pembinaan ini dilakukan oleh mana-mana pihak.
“Saya juga difahamkan MBMB masih belum dapat mengenal pasti pemilik sebenar bangunan dan tanah, kerana bangunan tersebut beroperasi sebagai sebuah pasar raya borong dan galeri pameran dan jualan sebelum ini.
“Jadi MBMB akan terus mencarinya supaya kita boleh tahu status sebenar pembinaan bangunan ini,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di Bukit Senjuang Banda Hilir di sini hari ini bersama Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka R.Saiful Iswandy R Hasan.
Beliau juga turut mengesahkan MBMB tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada pemilik tanah atau bangunan berkenaan untuk melakukan pembinaan tersebut.
Semalam media melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh maut, manakala dua warga Pakistan cedera dalam runtuhan bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.