USAHAWAN DIGITAL MELAKA JANA RM38.33 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 Oktober – Seramai 27,856 usahawan di Melaka telah dilatih ke arah keusahawanan digital menerusi program eUsahawan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh berkata, daripada jumlah itu, kesemua mereka berjaya menjana jualan terkumpul melebihi RM38.33 juta setakat ini.

Jelas beliau, ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan sejak program itu diwujudkan pada tahun 2015.

“Program eUsahawan telah melatih individu, pelajar dan usahawan mikro dalam keusahawanan digital untuk menjana pendapatan, mempromosi produk dan meningkatkan jualan.

“Melalui program ini, secara keseluruhan MDEC telah berjaya melatih seramai 564,629 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara, di mana kesemua mereka berjaya menjana jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Saya Digital Melaka 2024 yang dirasmikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan di sebuah pusat beli belah di Jalan Persisiran Bunga Raya, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab dan lain-lain kenamaan.

Menurut Syed Ibrahim, selain program eUsahawan, MDEC juga melaksanakan inisiatif MyDigitalMaker yang telah bermula sejak 2016 membabitkan lebih 2.5 juta pelajar sekolah di seluruh negara.

Jelas beliau, menerusi program itu peserta terlibat telah mengambil bahagian dalam aktiviti pembuatan digital seperti Kempen Hour of Code, iaitu pertandingan berasaskan pembuatan digital, selain lebih 150,000 pelajar telah mengambil bahagian dalam Karnival MyDigitalMaker.

“Program ini bukan sahaja menyemai minat pelajar terhadap teknologi, malah mempersiapkan pelajar-pelajar dengan kemahiran yang diperlukan seiring dengan era pendigitalan masa kini.

“Daripada jumlah yang saya sebutkan tadi, lebih kurang 20,000 pelajar daripada 350 sekolah di negeri Melaka telah terlibat secara langsung dalam program MyDigitalMaker,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post MENTAL SIHAT FIZIKAL MANTAP
Next post MELAKA KOMITED TINGKAT TARAF KESIHATAN RAKYAT
Ubah saiz-+=