MELAKA MENUJU NEGERI DIGITAL, BERTEKNOLOGI TINGGI

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Oktober – Hala tuju membina Melaka ke arah negeri berteknologi tinggi dan memperkasa digitalisasi rakyat menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, perkara itu diberi perhatian seiring dengan arus perkembangan teknologi digital menerusi Revolusi Industri 4.0 yang semakin mendapat permintaan tinggi.

Ujar beliau, dalam merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sentiasa menekankan inisiatif pintar khususnya dari segi penyediaan infrastruktur digital hinggalah kepada pemerkasaan data sebagai tunjang utama dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

Hal itu, jelasnya, dapat dibuktikan dengan usaha transformasi progresif menerusi inisiatif Kampung Digital yang julung kali diperkenalkan di Malaysia bertujuan untuk meningkatkan kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi dalam kalangan penduduk-penduduk kampung di Melaka.

Menurut beliau, sehingga kini, projek perintis itu telah berjaya mencapai fasa 7 daripada 10 fasa di mana sebanyak 197 buah rumah kini dalam proses penyediaan alamat baharu dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Selain Kampung Digital, Fairul Nizam memaklumkan, Kerajaan Negeri juga komited mempelbagaikan inisiatif Platform Digital dan Aplikasi Pintar, antaranya, Melaka Super App yang menyatukan empat aplikasi utama iaitu Melaka Pay, Smart Vehicle Parking, Sistem Respon Rakyat Melaka dan Melaka eXcess.

“Selain itu, konsep bandar pintar atau Smart Melaka juga diperkenalkan melalui Blueprint Smart Melaka 2035, yang menekankan empat aspek utama iaitu Smart Living and Security, Smart Mobility, Smart Public Transport dan Smart River.

“Pada masa sama, inisiatif Cashless Melaka juga menjadi komponen penting dalam mempercepatkan digitalisasi rakyat melalui program Walkabout Cashless Melaka, ditambah lagi dengan Inisiatif Pemerkasaan Data yang turut diberi perhatian dalam memperluaskan kandungan Melaka Digital Command Centre (MD2C) dan Pusat Pengkalan Data Raya Negeri Melaka (M-Dataraya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Jelajah Saya Digital Melaka di sebuah pusat beli belah di Jalan Persisiran Bunga Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan menyuarakan keyakinan kesemua inisiatif tersebut bukan sahaja menyokong keperluan rakyat, malah berupaya mendorong pertumbuhan ekonomi negeri serta memacu model ekonomi baharu melalui pembangunan ekonomi digital yang lebih inklusif.

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited dalam meneroka pelbagai inisiatif dan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan atau swasta agar seluruh rakyat Melaka mempunyai akses kepada pendidikan digital yang berkualiti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

189
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU LAHIR USAHAWAN DIGITAL DI KAMPUNG-KAMPUNG
Next post WUJUDKAN KEJIRANAN BERSIH DAN KONDUSIF
Ubah saiz-+=