MELAKA MAHU LAHIR USAHAWAN DIGITAL DI KAMPUNG-KAMPUNG

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Oktober – Ilmu ekonomi digital akan diperluaskan di Melaka dalam misi membantu rakyat menjana pendapat lebih menerusi perniagaan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ilmu tersebut amat penting dengan kepesatan dan kecanggihan teknologi masa kini.

Justeru, beliau mahu, ilmu tersebut bukan sahaja dipraktikkan usahawan muda, bahkan ia turut memberi manfaat kepada peniaga-peniaga kecil di kawasan luar bandar untuk terus berkembang.

“Saya berharap Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dapat membantu usahawan kecil, umpamanya, peniaga baulu atau penjual tapai di kampung-kampung untuk menyertai program eUsahawan yang berjaya melahirkan ramai insan berjaya dalam perniagaan.

“Dengan menguasai pelbagai platform digital terkini, saya percaya ia dapat membantu peniaga-peniaga kampung ini lebih berjaya dalam dunia teknologi masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Jelajah Saya Digital Melaka di sebuah pusat beli belah di Jalan Persisiran Bunga Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab.

Menurut Fairul, Jelajah Saya Digital Melaka diadakan hasil kerjasama di antara Kerajaan Negeri dengan MDEC selaku agensi di bawah Kementerian Digital yang bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital negara.

Jelas beliau, program itu bertujuan meningkatkan kemahiran digital rakyat, khususnya anak watan Melaka dalam mendepani kepentingan ilmu ekonomi digital yang semakin berkembang pesat.

“Saya difahamkan, sejak program ini dimulakan pada akhir tahun 2020, ia telah merekodkan seramai 51,786 orang peserta dari seluruh negara telah mendapat manfaat daripadanya. Manakala, di Melaka merekodkan seramai 767 peserta telah mendaftar bagi program ini sejak mula diperkenalkan.

“Justeru, besar harapan saya agar melalui siri jelajah ini, para pengunjung boleh menggarap peluang terbaik untuk memahami dan menguasai pelbagai platform digital terkini sejajar dengan kehendak dan kecanggihan teknologi yang relevan untuk disesuaikan dengan kehidupan seharian.

“Sesungguhnya, kempen Saya Digital ini umpama manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam mendigitalisasi rakyat Melaka bagi memperkukuh penguasaan kemahiran digital di samping membantu rakyat menjana pendapatan yang lebih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

163
Kongsi :
Previous post KAEDAH PELEPASAN NYAMUK AEDES BERWOLBACHIA ATASI DENGGI DI KAWASAN PADAT PENDUDUK
Next post MELAKA MENUJU NEGERI DIGITAL, BERTEKNOLOGI TINGGI
Ubah saiz-+=