MELAKA TERIMA WATIKAH PENGHARGAAN GGP DI IGEM 2024
SERI NEGERI 12 Oktober – Melaka menerima penghargaan atas penglibatan dalam Projek Rintis Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2024, pada Rabu.
Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dalam satu kenyataan memaklumkan Forum Green Government Procurement telah dijalankan bagi perkongsian pengalaman bersama Kementerian dan Agensi Kerajaan yang telah berjaya melaksanakan GGP berdasarkan dokumen Garis Panduan Perolehan Hijau Kerajaan.
Pada forum tersebut, Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) telah menyerahkan watikah penghargaan kepada Negeri Melaka sebagai pelaksana di bawah Projek Rintis Scaling (SCP Giz).
“Watikah penghargaan itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Seri Huang Tiong Sii kepada Setiausaha Bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Rafidah Awang Isa.
“IGEM 2024 yang berlangsung di KLCC selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober itu turut menerima sambutan yang menggalakkan dari pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kementerian, agensi, pelajar dan orang awam dari serata negara.
“Reruai Melaka turut dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoh serta beberapa kenamaan lain,” jelas kenyataan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.