TIADA LAGI ‘DONUT’ DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 12 Oktober – Melaka komited mahu memastikan kapasiti talian selular di negeri ini ditingkatkan, sekali gus mengurangkan kadar gangguan telekomunikasi.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) telah memeterai memorandum persefahaman bersama Maxis dengan misi memperkasa keterhubungan digital menerusi ‘fiberisation’.

Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr. Nazdiana Ab Wahab berkata, jalinan kerjasama itu dimeterai bagi memastikan tiada lagi gangguan telekomunikasi berlaku di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar.

“Misi kita adalah mahu memastikan tiada lagi ‘donut’ iaitu gangguan capaian seperti ‘loading’ atau bentuk bulat berpusing yang mungkin ada berlaku dalam kalangan rakyat sebelum ini.

“Insya-Allah, pemeteraian kerjasama ini kita ke arah untuk meningkatkan kapasiti talian selular di Melaka ke suatu tahap lebih tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian SMIX 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Dr. Nazdiana turut menggalakkan rakyat Melaka agar menyertai MCMC Microsoft AI TEACH Programs yang akan melatih ilmu kecerdasan buatan (AI) kepada mereka yang berminat.

Jelasnya, program itu menyasarkan seramai 500 peserta dan kesemua mereka akan dilatih secara percuma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL LANCARKAN URUSAN POS
Next post MELAKA TERIMA WATIKAH PENGHARGAAN GGP DI IGEM 2024
Ubah saiz-+=