245 ATLET KERAJAAN NEGERI WAKIL KE SUKSEM DAN SUPERB 2024

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 11 Oktober – Seramai 245 atlet dibawah kelolaan Kerajaan Negeri akan bersaing dalam dua kejohanan dijadualkan berlangsung di Terengganu dan Negeri Sembilan hujung bulan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad berkata mengikut pecahan 186 atlet akan ke temasya Sukan Setiausaha Kerajaan Se Malaysia (SUKSEM) Kali Ke-9 di Kuala Terengganu bermula 14 hingga 19 Oktober.

Katanya, seramai 59 atlet pula akan bersaing pada Kejohanan Sukan Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri Se Malaysia (SUPERB) Kali Ke-15 di Negeri Sembilan bermula 20 hingga 27 Oktober ini.

“Kedua-dua temasya sukan ini diwakili kakitangan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Jabatan Kewangan serta Perbendaharaan Negeri Melaka.

“Bagi SUKSEM 2024, kontinjen SUK Melaka menyertai lapan jenis sukan iaitu bola sepak, badminton, bola jaring, takraw, tenpin boling dan sukan elektronik.

“Sementara itu bagi SUPERB, lapan jenis sukan disertai adalah badminton, bola tampar, karom, ping pong, boling, futsal, dart dan bola ngocah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKSEM Kali Ke-9 Tahun 2024 dan SUPERB Kali Ke-15 di sini, hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh selaku penaung bagi kedua-dua kelab sukan di dua jabatan terbabit.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Maslina Baki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Azhan Samat serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Azhar turut memaklumkan Ketua Menteri berbesar hati meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada kontinjen SUKSEM.

Manakala sebanyak RM160,000 peruntukan untuk kontinjen SUPERB di Negeri Sembilan.

“Diharapkan dengan peruntukan yang diluluskan ini sedikit sebanyak membakar semangat juang atlet seterusnya dapat mengharumkan nama Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post MELAKAKU TANPA TUNAI DILANCARKAN
Next post SMIX 2024 SANGAT BERMAKNA, BERJAYA CAPAI OBJEKTIF
Ubah saiz-+=