MELAKAKU TANPA TUNAI DILANCARKAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 11 Oktober – Melaka terus memperhebatkan agenda digital dengan melancarkan inisiatif ‘Cashless Melaka’ atau dikenali Melakaku Tanpa Tunai.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu diperkenalkan sebagai usaha menggalakkan rakyat berurus niaga tanpa tunai di negeri ini, selari dengan hasrat Melaka menuju Bandaraya Warisan Dunia canggih dan pintar menjelang 2035.

Menurut beliau, setakat ini, seramai 1,500 usahawan dan peniaga kecil telah melibatkan diri dengan inisiatif tersebut dan ia akan terus diperluaskan dengan sasaran 50 peratus perniagaan di Melaka beralih kepada tanpa tunai.

“Program ini akan kita kembangkan bukan sahaja di premis perniagaan, bahkan ke pasar-pasar malam, agensi dan jabatan kerajaan serta lain-lain lagi.

“Ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk memperhebat transaksi tanpa tunai yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya.

6073455782772457729
LOGO Melakaku Tanpa Tunai yang dilancarkan. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Smart Melaka International Conference and Exhibition 2024 (SMIX 2024) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab serta lain-lain kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf memaklumkan, Kerajaan Negeri juga sedang memperhebat inisiatif pembangunan bandar lestari menerusi program Grid Pintar (Smart Grid) bersama Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Jelas beliau, setakat ini, sebanyak 15 agensi dan jabatan Kerajaan Negeri telah menyertai program berkenaan dengan misi mencapai objektif pengurangan pelepasan gas rumah hijau, sekali gus mampu menambah baik pembangunan pintar terhadap amalan hijau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2821
Kongsi :
Previous post MELAKA KE ARAH BANDARAYA WARISAN DUNIA CANGGIH, PINTAR MENJELANG 2035
Next post 245 ATLET KERAJAAN NEGERI WAKIL KE SUKSEM DAN SUPERB 2024
Ubah saiz-+=