SMIX 2024 ‘LUBUK’ PERKONGSIAN ILMU

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BANDA HILIR 11 Oktober – Penganjuran Smart Melaka International Conference and Exhibition 2024 (SMIX 2024) disifatkan sebagai platform terbaik dalam berkongsi pengetahuan membabitkan pembangunan bandar pintar dan kemajuan teknologi digital.

Bagi Penolong Pengarah Bahagian Perbandaran dan Khidmat Teknikal Jabatan Wilayah Persekutuan, Nordarlina Abdul Rahim berkata, kesempatan menghadiri SMIX 2024 merupakan peluang keemasan buat dirinya sebagai seorang penjawat awam kerana memperoleh banyak input yang dapat dipraktikkan dalam tuntutan tugas.

“Antara pengisian program ini adalah berhubung pengurusan berkaitan mobiliti, pelaksanaan inisiatif bandar pintar daripada negara luar yang mana pengetahuan dan input ini boleh kita guna pakai.

“Daripada perkongsian yang disampaikan oleh ahli panel, ia sangat membantu kita sebagai penjawat awam dalam melaksanakan tugas sekali gus memberi pencapaian terbaik,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas tamat hari pertama SMIX 2024, semalam.

Img 20241010 204929 974
NORDARLINA ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas tamat hari pertama SMIX2024. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Dia yang juga salah seorang peserta SMIX 2024 berkata, penganjuran yang dibawa Kerajaan Negeri Melaka menerusi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MITCH) adalah insiatif yang amat baik untuk memantapkan lagi pengetahuan peserta.

“Diberi kesempatan menyertai persidangan ini adalah peluang keemasan kepada kami untuk berkongsi pendapat dan pengetahuan melalui pengalaman pelaksana bandar pintar yang berjaya.

“Kami sangat berharap MITCH akan teruskan lagi usaha-usaha sebegini dengan menjemput lebih ramai panel selain memberi peluang kepada pakar bandar pintar tempatan berkongsi pengetahuan mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta SMIX 2024, Safwan Sukardi mewakili syarikat telekomunikasi Maxis berkata, sesi perkongsian secara dua hala antara ahli panel dan peserta membuatkan perkongsian maklumat lebih menyeluruh serta mudah difahami.

“Selain berkongsi tentang tadbir urus pintar, perkongsian tentang kemajuan teknologi digital juga adalah sesuatu yang meluas dan menarik.

“Misalnya, mungkin sebelum ini ramai orang salah takrif tentang kemajuan teknologi tetapi menerusi perkongsian pada persidangan ini banyak input positif yang dapat untuk kita pelajari da. praktikkan dalam urusan harian termasuk pekerjaan,” katanya.

Img 20241010 204923 189
SAFWAN

Jelasnya, persidangan yang diadakan itu juga boleh dijadikan platform untuk memperbetulkan kefahaman tentang kemajuan teknologi digital kepada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakyat dalam membangunkan sebuah bandar pintar.

“Secara peribadi saya menyambut baik sekiranya SMIX dijadikan persidangan tahunan contohnya untuk teknologi ia semakin berkembang laju jadi amat sesuai diadakan setiap tahun.

“Sekurang-kurangnya kita akan sentiasa ‘update’ dan mendapat input baharu setiap tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

79
Kongsi :
Previous post PERSIMPANGAN BAHARU PAYA LEBAR-KAMPUNG PULAU DIBINA TAHUN DEPAN
Next post MELAKA USUL LALUAN 4 LORONG DI HUTAN SIMPAN SUNGAI UDANG
Ubah saiz-+=