PERMOHONAN MYKAD DI MELAKA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Kesedaran rakyat negara ini khususnya di Negeri Melaka mengenai kepentingan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah terutama membabitkan kanak-kanak semakin meningkat.

Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Faizah Jaarudin berkata, bagi Negeri Melaka sahaja pihaknya merekodkan sebanyak 11,371 permohonan MyKad kanak-kanak berusia 12 tahun bagi tempoh Januari 2024 hingga September lalu.

Faizah berkata, jumlah permohonan itu menunjukkan peningkatan berbanding 10,675 yang diterima JPN Negeri Melaka pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan jumlah permohonan ini adalah susulan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai pentingnya membuat pendaftaran awal anak masing-masing. Permohonan MyKad kita beri tempoh bermula usia 12 hingga 16 tahun, lebih daripada masa itu kita anggap pendaftaran mereka lewat.

“Kita juga sentiasa memberi pendedahan di media sosial supaya masyarakat peka, kita minta supaya pemohon ini buat pendaftaran awal termasuk urusan MyKad dan kelahiran,” katanya pada sidang media selepas Program Hari Pendaftaran Negara Yang Ke-76 Peringkat JPN Negeri Melaka dan Pertandingan Akhir Pidato JPN Tahun 2024 di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman.

Mengulas lanjut, Faizah berkata kes membabitkan kelewatan permohonan Mykad seluruh negara juga semakin menurun susulan peningkatan tahap kesedaran hasil hebahan dilaksanakan pihaknya.

“Selain itu kita memudahkan urusan permohonan dokumen ini, bagi pemohon yang tidak boleh dapat ke kaunter JPN atas faktor kesihatan atau dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), kita boleh ke kediaman mereka bagi selesaikan urusan itu.

“Jadi tiada isu mereka lewat daftar MyKad atau sebagainya, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana kita akan cuba membantu sehabis baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

101
Kongsi :
Previous post DEUTSCHER BRAND SUMMIT 2024, KUKUHKAN JALINAN EKONOMI MELAKA-JERMAN
Next post PANGGILAN TIDAK BERJAWAB, BAPA SUDAH TIADA
Ubah saiz-+=