MELAKA SMART PARKING: 326 EJEN JUALAN DIMINTA SERAH SEMULA KUPON FIZIKAL

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Kira-kira 326 ejen dijemput untuk mendengar Taklimat Bersama Agen Jualan Kupon Letak Kereta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dewan Taming Sari di Graha Makmur di sini, hari ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata kesemua ejen tersebut juga dimaklumkan supaya memulangkan semula lebihan buku kupon yang tidak terjual selewat-lewatnya 11 Oktober ini.

Katanya, perkara itu berikutan MBMB dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sudah beralih sepenuhnya kepada sistem digital menerusi aplikasi Melaka Smart Parking.

“Tujuan taklimat diadakan adalah lebih kepada memanggil semula ejen-ejen jualan kupon fizikal parkir MBMB dan MPHTJ untuk memaklumkan bahawa kita sudah bergerak secara digital.

“Mereka (ejen) boleh menukar lebihan buku kupon tidak terjual kepada ‘air time’ menerusi aplikasi yang digunakan secara digital. Sistem baharu berkenaan, sekali gus menggantikan penggunaan aplikasi lama iaitu SVP Smart Parking Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Taklimat Bersama Agen Jualan Kupon Letak Kereta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dewan Taming Sari di Graha Makmur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata MBMB menyediakan 14,000 petak parkir dalam kawasan pentadbirannya, sementara itu MPHTJ pula 11,000.

“Kepada pengguna yang sudah membeli buku kupon secara fizikal, kupon itu masih boleh digunakan sehingga 31 Disember ini. MBMB dan MPHTJ akan bergerak secara digital sepenuhnya bermula Januari 2025,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post ‘BOLEH TUNTUT MYKID, BEKALAN SUDAH ADA’
Next post DEUTSCHER BRAND SUMMIT 2024, KUKUHKAN JALINAN EKONOMI MELAKA-JERMAN
Ubah saiz-+=