Sorting by

×

WTD 2025 BAWA DUNIA KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SERI NEGERI 9 Oktober – Penganjuran World Tourism Day (WTD) 2025 akan diatur dengan terperinci bagi menjadikannya sebagai satu acara ‘hebat’ yang memukau dan memperkenalkan keunikan negara ini kepada dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun Melaka sebagai tuan rumah namun Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kerjasama dan penyertaan daripada semua negeri di Malaysia untuk bersama-sama menjayakan WTD 2025 yang turut membabitkan penganjuran World Tourism Conference (WTC) 2025.

Kata beliau, Melaka mahu berkongsi platform WTD 2025 untuk mempromosikan keunikan budaya, warisan dan sektor pelancongan Malaysia yang ada di semua negeri di Malaysia.

“Promosi adalah aspek penting kerana WTD 2025 akan disusuli dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Kita perlu memanfaatkan kehadiran 155 menteri pelancongan dunia ke Melaka untuk kita tunjukkan keunikan, keistimewaan dan apa yang ada di negera ini.

“Melaka tidak pentingkan diri, sebaliknya kita mahu semua negeri tidak kira di sebelah timur, utara dan selatan untuk bersama-sama. Kongsikan keunikan budaya, makanan atau apa sahaja tarikan di negeri masing-masing sepanjang seminggu WTD 2025 berlangsung nanti,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat ‘kick-off ‘Sempena Sambutan WTD 2025 dan WTC 2025 di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, Seri Negeri, semalam.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Wira Roslan Abdul Rahman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta timbalan beliau, Datuk Zaidi Attan.

Ab Rauf berkata, antara aspek akan diberikan penekanan sepanjang WTD 2025 nanti adalah promosi produk pelancongan Islam membabitkan negara luar seperti China dan padanan perniagaan.

“Semua ini akan menjadi promosi berterusan hingga berlangsungnya VM2026, tidak hanya terhenti selepas tamat penganjuran WTD 2025. Kita mahu berikan pengisian terbaik sepanjang acara ini berlangsung nanti.

“Berikutan itu saya minta kerjasama semua untuk memasang gegantung atau bunting mengenai WTD 2025 di pejabat kedutaan, pejabat pesuruhjaya tinggi, pejabat Tourism Malaysia di luar negara dan pintu masuk utama negara bagi membantu hebahan acara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

198
Kongsi :
Previous post TVS BANTU MELAKA PROMOSI WTD 2025
Next post SELEPAS TIGA TAHUN BANJIR LAGI
Ubah saiz-+=