PENUTUR BAHASA MELAYU SEMAKIN RAMAI

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Sebanyak 23 fakulti Bahasa Melayu diwujudkan di institusi pengajian di beberapa negara Asia, sekali gus membuktikan bahasa ibunda khususnya rakyat di Malaysia itu semakin berkembang, mendapat perhatian dan diterima dunia.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohd Salahuddin Mohamed berkata daripada jumlah itu sebanyak 15 fakulti adalah di Negara China dan lapan fakulti di Thailand.

“Bahasa Melayu sekarang berkembang baik di negara Asia, tahun lepas kami juga membuat pertandingan pidato antara universiti di China dalam Bahasa Melayu.

“Mereka ini menggunakan bahasa kebangsaan kita dan langsung tidak menggunakan Bahasa Cina atau Inggeris. Malah di China juga ada radio yang menyediakan slot untuk pengajian Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BKK) Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Perasmian majlis berkenaan disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mohd Salahuddin berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk mewujudkan fakulti Bahasa Melayu di Jepun selepas ini.

“Pelajar di Jepun juga sudah mula menuturkan Bahasa Melayu di universiti mereka, insya-Allah kita akan usaha bagi mewujudkan Fakulti Bahasa Melayu di sana pula,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

46
Kongsi :
Previous post 800 MERIAHKAN MALAM CINTA RASUL
Next post TVS BANTU MELAKA PROMOSI WTD 2025
Ubah saiz-+=