PAPAN IKLAN PERLU MARTABATKAN BAHASA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 8 Oktober – Atas dasar menghargai dan memartabatkan bahasa kebangsaan, rakyat diminta untuk melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika mendapati perkataan dipaparkan pada papan iklan tidak mengikut penggunaan bahasa atau ejaan yang betul.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, jika didapati mengabaikan aspek bahasa yang betul pemilik premis berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Katanya, usaha untuk memartabatkan bahasa pada papan iklan sudah dimulakan sejak 2015 lagi menerusi ketetapan peringkat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“KPKT telah mengarahkan PBT yang mana segala jenis papan iklan yang dilesenkan perlu mendapat kelulusan dahulu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Jadi di Negeri Melaka kita tidak terkecuali, justeru itu kalau ada aduan daripada rakyat atau sesiapa sahaja, PBT akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Mohd Salahuddin Mohamed dan lain-lain jemputan.

Berikutan itu Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, berharap rakyat Melaka lebih peka berhubung penggunaan tatabahasa dan ejaan pada setiap papan iklan di negeri ini.

“Kita mengharapkan bantuan daripada semua pihak, kalau nampak papan iklan itu memang tidak kena bahasanya buat aduan secara terus kepada PBT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

97
Kongsi :
Previous post TEMPOH LIMA HARI TUNTUT KERBAU
Next post BAYI DITEMUKAN DALAM KOTAK DI PENDANG
Ubah saiz-+=