JALAN BAHARU AYER LIMAU-JERAM, PEMANGKIN EKONOMI MASJID TANAH

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

AYER LIMAU 8 Oktober – Jalan baharu menghubungkan antara Kampung Solok Ayer Limau dan Kampung Jeram bukan sekadar sebagai pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan infrastruktur berkualiti kepada rakyat.

Sebaliknya laluan baharu itu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat dengan limpahannya bakal dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar.

Selain itu jalan berkenaan juga mewujudkan lingkaran perhubungan yang lebih cekap apabila pengguna mahu ke Taboh Naning contohnya tidak perlu lagi menempuh kesesakan setiap kali melalui pekan Masjid Tanah seperti sebelum ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata penduduk bersyukur dan memberikan reaksi positif serta yakin jalan baharu itu bakal menjadi pemangkin ekonomi selain sosial mereka.

Img 20241008 102309 096
SALLEH.

Seorang penduduk, Salleh Rozan, 60, berkata, jalan baharu itu mampu memudahkan perjalanan penduduk untuk ke Alor Gajah berbanding laluan menghala ke Masjid Tanah.

Dia yang menetap di Kampung Pulau berkata, inisiatif itu juga bakal menggerakkan kitaran ekonomi setempat membabitkan pelbagai bidang seperti pertanian dan pelbagai bentuk perniagaan baharu.

“Sebelum ini saya terpaksa menggunakan laluan Masjid Tanah untuk ke tempat kerja di Alor Gajah dan kadangkala terpaksa berdepan kesesakan selama 15 minit di persimpangan yang ada di pekan Masjid Tanah.

“Alhamdulillah, kemudahan ini mampu membantu penduduk dan pengguna jalan raya kerana ia benar-benar menyingkatkan tempoh perjalanan.

“Melihat daripada lebih luas, Kemudahan ini bukan sekadar Infrastruktur memberikan keselesaan kepada rakyat, mungkin kita boleh anjurkan aktiviti sukan seperti acara larian antara Kampung menggunakan laluan baharu disediakan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Ayer Limau, Sharudin Sani, 62, berkata, selain menyingkatkan tempoh perjalanan jalan baharu itu memberi pelbagai kesan positif kepada pembangunan ekonomi setempat.

“Kita yakin jika jalan baharu ini dibuka pelbagai manfaat boleh dilaksanakan seperti membangunkan semula sektor pertanian di sekitar.

“Malah ia merupakan peluang besar untuk membina lebih banyak penempatan baharu dan membawa pelbagai limpahan lain buat penduduk.

“Cuma kami berharap perlu ada pemantauan daripada pihak penguatkuasa bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menjadikan jalan ini sebagai trek perlumbaan haram mereka,” katanya.

Img 20241008 102310 536
MOKHTAR.

Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulau, Mokhtar Salleh, 65, tidak menjangkakan bahawa terdapat perubahan baharu yang memberi impak kepada beberapa kampung di sekitar.

Katanya, rata-rata penduduk memberikan maklum balas positif berhubung pembinaan jalan baharu itu kerana ia membantu memudahkan perjalanan penduduk dan pelancong yang bertandang ke destinasi tumpuan di Masjid Tanah.

“Selama 60 tahun saya tidak menjangkakan ada jalan baharu seperti ini kerana ia begitu memudahkan penduduk malah ini merupakan peluang utama dalam sektor pelancongan kerana ia dapat menarik lebih ramai pelancong yang melalui Tol Simpang Ampat untuk terus ke pantai peranginan melalui jalan utama ini.

“Terima kasih kami ucapkan kepada seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri dan Pusat kerana dapat merealisasikan hasrat ini dan membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

529
Kongsi :
Previous post PERTANDINGAN PERAHU NAGA DAN KAYAK, PROMOSI TAMAN REKREASI BAHARU KUALA LINGGI
Next post PRODUK AIR TANGAN BEKAS PENSYARAH ‘LAKU KERAS’
Ubah saiz-+=