500 DIJANGKA SEMARAKKAN MALAM CINTA RASUL

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KESIDANG 7 Oktober – Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah Peringkat Negeri Melaka 2024 diteruskan dengan penganjuran Majlis Malam Cinta Rasul-Mualaf Berselawat yang akan berlangsung di Kompleks Darul Huda, Balai Islam, malam esok.

Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad berkata, selain memfokuskan kepada golongan mualaf, penganjuran kali ketiga Majlis Malam Cinta Rasul itu turut mengalu-alukan kehadiran seluruh umat Islam.

“Kita jangka kehadiran pada malam esok akan mencapai 500 orang, insya-Allah sasaran ini mampu dicapai berdasarkan kepada sambutan pada penganjuran yang lalu.

“Program akan bermula pada jam 6.30 petang, diikuti solat Maghrib berjemaah kemudian disusuli maulud. Majlis dijangka tamat pada 10.30 malam selepas jamuan makan.

“Tausiah dan maulud akan oleh Habib Faqeh Muqaddam Al Aydrus serta Dr. Habib Musthofa Abdul Wahab Al Haddar, manakala Ustaz Muhammad Hatta Syamsul Ariffin Abd Rahim bertindak sebagai penterjemah kepada Dr. Habib Musthofa,” kata kepada Melaka Hari Ini.

Shaifulfazlee berkata, selain meraikan sambutan Maulidur Rasul, ia juga bertujuan mengajak golongan mualaf khususnya menghayati serta memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

“Sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang lazim diraikan sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW.

“Selain diadakan perarakan yang diiringi dengan selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW, program yang selalu dianjurkan adalah majlis ilmu, pengisian yang berkaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW dan kita tampil menganjurkan Majlis Malam Cinta Rasul,” katanya.

Jelasnya, Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Rahmad Mariman dijangka akan merasmikan majlis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post 16 MANGSA BERPINDAH KE SK TEHEL, RUMAH DINAIKI AIR
Ubah saiz-+=