Pembinaan pekan kecil perkasa ekonomi penduduk luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DURIAN TUNGGAL 6 Dis – Cadangan bagi membina pekan kecil di beberapa lokasi di negeri ini akan diangkat, sekali gus mampu memperkasa pembangunan ekonomi kawasan luar bandar khususnya di Alor Gajah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, bagaimanapun pihaknya akan menilai semula keutamaan yang akan diberikan berdasarkan kemampuan negeri ini bagi membina fasiliti yang mampu mendatangkan manfaat dalam pertumbuhan ekonomi di lokasi terbabit.

Ujarnya, pihaknya akan mengusulkan perkara terbabit dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mengetengahkan perkara itu dengan kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Datuk Seri Ghafar Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir, Datuk Seri Utama Idris Haron.

Dalam lawatan tersebut, Sulaiman turut memanggil wakil Pejabat Tanah dan Daerah Alor Gajah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah serta wakil Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk bersama mengambil tindakan segera dan memberikan laporan secara bertulis.

“Kita akan melihat semula seperti mana cadangan yang dikemukakan bagi membina pekan-pekan kecil di beberapa lokasi di negeri ini bagi mempermudahkan rakyat di lokasi-lokasi tertentu khususnya dalam daerah Alor Gajah.

“Sekiranya pembangunan pekan-pekan kecil di daerah ini dibangunkan, ia mampu membawa pelbagai kebaikan kepada rakyat malah kita komited bagi mengangkat perkara ini bagi membangunkan usaha ini.

“Kerajaan negeri akan menilai mana-mana kepentingan dan keutamaan terlebih dahulu sebelum membangunkan pekan kecil ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas lawatannya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Dalam lawatan bermula sekitar 6 pagi tadi, kunjungan itu telah dimulakan dengan Solat Subuh berjemaah dan tazkirah pagi di Masjid Ar-Rahman, Parit Melana.

Lawatan tersebut kemudiannya bersambung ke beberapa lokasi termasuk kawasan pembinaan bagi menyelami masalah penduduk yang berdepan permasalahan akibat projek terbabit.

Lawatan Ketua Menteri ke DUN Durian Tungaal berakhir di Madrasah Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Ainussyukriah.

Views:

567
Kongsi :
Previous post Kebenaran rentas daerah, negeri ‘hidupkan’ pelancongan Melaka
Next post Pelancong perlu gandakan tingkah laku patuhi SOP – MKN
Ubah saiz-+=