JALAN BAHARU SOLOK AYER LIMAU-JERAM KINI DIBUKA

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER LIMAU 7 Oktober – Persimpangan jalan baharu yang menghubungkan Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram kini dibuka untuk pengguna jalan raya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jalan baharu sepanjang 3 kilometer telah berjaya disiapkan dengan lebih awal sekali gus mengurangkan kadar kesesakan jalan raya yang berlaku di Masjid Tanah.

Menurutnya, projek yang menelan belanja lebih RM39 juta itu sekali gus mampu menyingkatkan masa perjalanan penduduk sekitar yang sebelum ini terpaksa menggunakan laluan ke arah Masjid Tanah untuk ke Alor Gajah.

“Projek ini telah meununjukkan satu prestasi pembinaan yang terbaik kerana ia telah dapat disiapkan 54 hari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

“Jalan yang dibina ini akan memendekkan waktu perjalanan buat penduduk sekitar yang ingin ke Alor Gajah dengan penjimatan masa selama 15 hingga 20 minit.

“Terima kasih kepada semua agensi terlibat terutama kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang meluluskan pembinaan projek ini dan terima kasih juga kepada penduduk dan pemimpin setempat serta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang berusaha supaya hasrat ini direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Membina Jalan Baharu Dari Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram Masjid Tanah Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengarah JKR Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar; Timbalan Setiausaha Bahagian Prasarana KKDW, Azman Kasim serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, pembinaan jalan baharu itu merupakan sebahagian daripada persediaan Kerajaan Negeri menjadikan kawasan utara Melaka iaitu di Masjid Tanah sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu pada masa akan datang.

Jelasnya, kira-kira 5,000 ekar tanah di kawasan itu akan diwartakan sebagai MCorp Technology Park yang akan menjana 30,000 peluang pekerjaan buat anak jati negeri ini.

“Sebagai langkah awal kita sedang membuat kajian laluan dan infrastruktur sebagai landasan kajian utama sebelum ianya dapat dilaksanakan kelak dan usaha ini sedang dilaksanakan membabitkan semua agensi kerajaan supaya kawasan utara Melaka ini dapat menjadi pemangkin ekonomi baharu di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

254
Kongsi :
Previous post SENTUHAN KONDUKTOR ORKESTRA TRADISIONAL MALAYSIA
Next post NO RIGHT TURN: ENAM LAGI LOKASI SEDANG DIKENAL PASTI
Ubah saiz-+=