‘MARTIAL ARTS’ PUKAU PENGUNJUNG MENARA TAMING SARI

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 6 Oktober – Suasana di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, bertukar gamat apabila dimeriahkan dengan tiga persembahan seni mempertahankan diri iaitu silat, wushu dan silambam.

Ia merupakan sebahagian daripada acara ‘pocket show’ yang ditampilkan pihak pengurusan menara ikonik Negeri Melaka itu sempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Oktober.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Nasrul Ahmad, persembahan itu dibawakan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka bagi menambahkan lagi tarikan di tempat tumpuan pelancong itu.

Jelas beliau, persembahan itu menampilkan anak muda dari Persatuan Seni Silat Sikume Melaka, Persatuan Wushu Melaka dan Persatuan Silambam Melaka dengan persembahan padat aksi selama hampir dua jam.

“Kita dapat lihat sambutan pengunjung amat menggalakkan apabila dipenuhi orang ramai sejak awal hingga akhir.

“Rata-rata mereka teruja untuk melihat setiap aksi dan persembahan yang ditampilkan bermula pada jam 9.15 hingga 11 malam.

“Malah, daripada ‘pocket show’ seperti ini, kita dapati, jumlah pengunjung yang mahu mendapatkan harga tiket RM10 sempena Melaka Bila Larut Malam turut meningkat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20241006 Wa0005
NASRUL bergambar dan menyampaikan cenderahati kepada peserta wushu yang membuat persembahan di Menara Taming Sari.

Menurut Nasrul, sempena Melaka Bila Larut Malam edisi berikutnya, Menara Taming Sari akan terus mencari kelainan baharu dalam menampilkan persembahan sampingan yang lebih menarik untuk pengunjung dan pelancong.

“Selain ‘pocket show’, persembahan ‘buskers’ dan gerai jualan juga akan terus merancakkan lagi suasana malam minggu di perkarangan Menara Taming Sari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post ZOO MELAKA TAWAR DISKAUN RM5 HINGGA HUJUNG TAHUN
Next post IKAN BAKAR HANYA RM10 DI MELAKA
Ubah saiz-+=