BONGKAR NILAI SEJARAH MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 5 Oktober – Penganjuran Melaka Explorace 2024 menjadi medan untuk peserta membongkarkan nilai-nilai sejarah yang terdapat di Melaka sejak ratusan tahun dahulu hingga kini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program berkonsepkan pencarian harta karun itu memberi peluang kepada lebih 300 peserta meneroka sejarah dan khazanah yang terpelihara di negeri ini sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Jelas beliau, program itu juga menerapkan elemen pendidikan kepada peserta, selain mempromosikan tarikan pelancongan yang ada.

“Banyak khazanah bernilai tinggi yang boleh diteroka oleh para peserta sepanjang program ini dan kita harap akan mendapat hasil yang baik daripada kebijaksanaan peserta.

“Kita juga berharap menerusi program ini, ia menjadi salah cara untuk mengembalikan semula kegemilangan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Flag Off Melaka Explorace 2024 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan lain-lain kenamaan.

Img 6031
BANDA HILIR 5 Oktober – Suasana peserta yang menyertai Melaka Explorace 2024 di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu program itu disertai seramai 66 pasukan membabitkan kategori Terbuka, Agensi Kerajaan Negeri Melaka/ Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Media.

Melaka Explorace 2024 anjuran Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Bernama merupakan sebahagian acara yang dirangka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Program berkenaan menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 bagi tempat pertama untuk kategori Terbuka, manakala RM5,000 bagi juara kategori Media dan Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama.

Bertemakan ‘Mana Lagi, Melaka Ler!’, Melaka Explorace 2024 akan membawa peserta menerokai keindahan dan keunikan bumi Melaka yang kaya dengan sejarah serta warisan.

Kesemua pasukan perlu menjelajah ketiga-tiga daerah dalam negeri ini iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah, dan Jasin, selain dikehendaki menyempurnakan misi menggunakan kenderaan, beca dan bot (Melaka River Cruise).

Peserta juga perlu memuat naik gambar dan video menarik di media sosial sepanjang Melaka Explorace 2024 berlangsung, sebagai nilai tambah untuk membolehkan mereka memenangi pertandingan tersebut.

Majlis penyampaian hadiah akan diadakan esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh yang bakal disempurnakan Ketua Menteri.

Selain hadiah wang tunai kepada pemenang, turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan empat buah motosikal dan pelbagai hadiah lain menanti peserta.

Selain itu, peserta yang mengenakan busana tradisional yang menggambarkan kepelbagaian masyarakat di Melaka pada majlis penutup itu juga berpeluang memenangi hadiah menarik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post HARGA RUMAH DI MELAKA KEKAL MURAH
Next post WTD 2025 MELETAKKAN MELAKA TUMPUAN DUNIA
Ubah saiz-+=