‘HIDUPKAN SEMULA’ FASILITI SUKAN KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PAYA RUMPUT 5 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberikan tumpuan utama terhadap aspek baik pulih fasiliti sukan di peringkat komuniti tahun depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata, perkara itu diberi penekanan dalam usaha memastikan gelanggangsukan sama ada di kampung atau taman perumahan di seluruh negara dapat dihidupkan semula.

Pada masa sama, beliau berkata, KBS akan terus mempergiatkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara dalam aspek baik pulih fasiliti yang ada supaya ia dapat dimanfaatkan masyarakat setempat.

“Jadi, jika tanya fokus KBS untuk pembinaan baharu, memang kita tiada lagi perancangan yang besar, namun fasiliti sedia ada akan kita baik pulih supaya ia dapat digunakan komuniti.

“Selain itu, kita juga akan memperhebatkan kerjasama dengan PBT di mana hasil usaha dilakukan sebelum ini telah mula mendapatkan hasil, seperti di Melaka, kita dapat lihat pembaikan padang di Stadium Hang Jebat serta naik taraf gelanggang tenis di Ayer Keroh telah dibantu PBT.

“Semua ini hasil sesi libat urus yang kita adakan bersama PBT dan usaha ini akan kita teruskan supaya fasiliti yang perlu dibaik pulih atau dinaik taraf dapat memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke tempat latihan Finswimming Melaka di Pusat Akuatik Hang Jebat, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh dan Presiden FinSwimming Melaka merangkap pengasas dan Ketua Jurulatih PGSC Mohd Azwim Kamarulzaman.

Mengulas lanjut, Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya memaklumkan, KBS juga telah memohon penambahan peruntukan bagi projek baik pulih dan naik taraf fasiliti sukan komuniti di negara ini kepada Kementerian Kewangan (MOF) menjelang pembentangan Belanjawan 2025 tahun hadapan.

“Kita buat permohonan agar MOF dapat menyediakan dana yang lebih selesa dalam aspek pembaikan dan pembaik pulihan fasiliti sukan di peringkat komuniti.

“Diharapkan akan ada khabar gembira dapat kita terima pada pembentangan Belanjawan 2025 itu nanti,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

38
Kongsi :
Previous post ‘TAK PERLU LAGI AMBIL CUTI UNTUK URUSAN DI KAUNTER’
Next post SKSSR LINDUNGI SURI RUMAH
Ubah saiz-+=