SEGERAKAN PROJEK KAWALAN HAKISAN PANTAI PUTERI

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PAYA RUMPUT 4 Oktober – Projek pengawalan hakisan pantai di Pantai Puteri perlu dipercepatkan bagi mengelakkan ancaman atau insiden lebih buruk berlaku, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Beliau berharap peruntukan yang sudah diluluskan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dapat dipercepatkan bagi menyelamatkan pantai peranginan itu yang terkenal sebagai antara destinasi tarikan pelancongan di negeri ini.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA telah meluluskan lebih RM20 juta bagi projek kawalan hakisan di berkenaan.

“Kita mohon PETRA untuk menyegerakan projek ini sebab difahamkan projek ini dijadual akan dilaksanakan pada awal tahun hadapan.

“Setakat ini apa yang dimaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selepas peruntukan diluluskan ia kini di dalam tempoh untuk membuka tender.

“Terima kasih kepada PETRA yang telah meluluskan peruntukan ini sebab saya yakin dan percaya inisiatif ini adalah antara yang diperlukan dalam usaha menjaga kelestarian Pantai Puteri sebagai lokasi tumpuan pelancong di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan One Off IPT Peringkat Parlimen Tangga Batu di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Taman Paya Rumput Perdana, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Aziz Baba serta tetamu lain.

Dalam pada itu Rais memaklumkan, bagi melancarkan projek pengawalan hakisan itu, Kerajaan Negeri menerusi MMBMB sedang merangka usaha supaya operasi penjaja kecil tidak terjejas.

Jelasnya, satu sesi libat urus antara MBMB dan peniaga akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu penempatan semula peniaga yang terlibat di sepanjang pantai berkenaan.

“Kita akan mengadakan perbincangan dan menyelesaikan isu ini kerana apa yang kita dapati ada antara peniaga yang tidak berlesen dan menggunakan tapak yang tidak diluluskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di pantai berkenaan sehingga mengakibatkan beberapa isu keselamatan berlaku.

“Kita sedang mengenal pasti penempatan semula peniaga-peniaga supaya pendapatan mereka tidak terjejas, di amna kita akan mengutamakan mereka yang mempunyai lesen yang diberikan PBT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

47
Kongsi :
Previous post MALAYSIA IKTIRAF SUKAN ‘RENANG SIRIP’
Next post SMIX2024: FIGURA HEBAT KONGSI KEPAKARAN, KEPINTARAN
Ubah saiz-+=