MHI ANTARA 66 PASUKAN SAHUT CABARAN MELAKA EXPLORACE 2024

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 4 Oktober – Seramai 13 wakil dari Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd sedia menyahut cabaran dalam saingan Melaka Explorace 2024 yang berlangsung esok.

Penyertaan itu membabitkan sebanyak empat pasukan, di mana dua daripadanya akan bertanding dalam kategori Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama, manakala dua pasukan lagi dalam kategori media.

Upacara pelepasan peserta pada program bertemakan pencarian harta karun itu akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pagi esok.

Melaka Explorace 2024 anjuran Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan sebahagian acara yang dirangka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ia bakal disertai keseluruhan 66 pasukan merangkumi 32 pasukan dalam kategori terbuka, diikuti 23 pasukan dalam kategori Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama dan 11 lagi akan beraksi dalam kategori media.

Ia menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 bagi tempat pertama untuk kategori Terbuka, manakala RM5,000 bagi juara kategori Media dan Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama.

Bertemakan ‘Mana Lagi, Melaka Ler!’, Melaka Explorace 2024 akan membawa peserta menerokai keindahan dan keunikan bumi Melaka yang kaya dengan sejarah serta warisan.

Kesemua pasukan perlu menjelajah di ketiga-tiga daerah dalam negeri ini, iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah, dan Jasin, dan dikehendaki menyempurnakan misi yang diberi melalui berjalan kaki, berkenderaan, serta menaiki beca dan bot (Melaka River Cruise).

Peserta juga perlu memuat naik gambar dan video menarik di media sosial sepanjang Melaka Explorace 2024 berlangsung, sebagai nilai tambah untuk membolehkan mereka memenangi pertandingan tersebut.

Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada Ahad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh yang akan disempurnakan Ketua Menteri.

Selain hadiah wang tunai kepada pemenang, turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan empat buah motosikal dan pelbagai hadiah lain menanti peserta.

Selain itu, peserta yang mengenakan busana tradisional yang menggambarkan kepelbagaian masyarakat di Melaka pada majlis penutup itu juga berpeluang memenangi hadiah menarik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post KATA DUA JIKA GAGAL SIAPKAN RESIDENSI KLEBANG 2
Ubah saiz-+=