MASJID AL-WAKIL LUBOK CHINA CONTOH INSTITUSI ISLAM MUAFAKAT

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

AYER LIMAU 5 Oktober – Muafakat antara masyarakat yang berpegang kepada kehidupan bersaudara menjadikan Masjid Al-Wakil, kekal sebagai sebuah institusi Islam contoh di Melaka.

Masjid lama terletak di Lubok China dibina sekitar 1927 itu melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul bagi kategori Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Kariah Terbaik bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka 2024, baru-baru ini.

Img 20241004 075948 200
PEJABAT Koperasi Masjid Al Wakil, Lubok China.

Pengerusinya, Ameral Mukminin Abdul Wahid berkata, 17 ahli jawatankuasa yang menggerak pembangunan masjid itu komited memastikan setiap urusan pentadbiran termasuk pengurusan tanah wakaf menjadi tanggungjawab utama mereka.

Muafakat terjalin menjadikan masjid yang diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 berjaya menjana pendapatannya menerusi penubuhan koperasi.

Selain sebagai rujukan masyarakat dalam pembangunan institusi agama, misi pengurusannya adalah akan memastikan setiap tanah yang diwakafkan sebagai medan menjana pendapatan penduduk sekitar.

Img 20241004 080119 579
KEDAI gunting rambut antara premis yang beroperasi di bawah koperasi diseliakan pengurusan masjid berkenaan.

Menurutnya, pihaknya komited memanfaatkan setiap inci tanah wakaf yang ada untuk memartabatkan sektor perniagaan terutama membabitkan peniaga kecil supaya dapat bersama-sama bersaing menjana pendapatan.

Katanya, dengan mengambil contoh pengurusan beberapa masjid di negeri lain seperti di Kedah, pihaknya berjaya menyewakan sebanyak tujuh lot kedai yang dibina di tanah wakaf supaya Koperasi Masjid Al Wakil yang ditubuhkan pada 2018 mampu menjana pendapatan.

“Selain dilengkapi kedai menjual sayur-sayuran dan memproses santan, lot kedai yang ada juga menyediakan perkhidmatan mencuci kenderaan, kedai makan dan minuman serta pelbagai lagi.

“Pihak koperasi juga turut menyediakan khidmat tukaran wang dan perkhidmatan penghantaran buat pekerja asing yang menetap di kawasan ini untuk melakukan pengeposan kepada beberapa negara seperti Indonesia, Bangladesh serta Nepal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20241004 080259 020
PASAR segar turut beroperasi di premis berkenaan.

Meskipun pernah beberapa kali dilanda bencana banjir namun sokongan dan kerjasama ahli kariahnya telah menjadikan masjid itu sebagai sebuah institusi Islam yang cekap dalam aspek pengurusan serta pentadbirannya.

“Musibah banjir bukan menjadi penghalang kepada kami untuk meneruskan perjuangan bagi memastikan masyarakat meletakkan masjid sebagai wadah bermuafakat dalam kehidupan seharian.

“Kami berpegang kepada kehidupan bermuafakat kerana hasil daripada itulah masyarakat dapat mengimarahkan masjid ini sebagai institusi islam,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan yang diterima baru-baru ini menjadi sumber kekuatan kepada pentadbirannya dan akan merancang akan membina sebuah Unit Teknologi Maklumat (IT) supaya dapat membantu mempromosikan produk dan program yang dianjurkan masjid itu.

Img 20241004 080348 054
PUSAT pemprosesan santan kelapa antara perniagaan yang dijalankan di bawah seliaan koperasi masjid tersebut.

“Sekurang-kurangnya pihak masjid akan menganjurkan sebanyak lapan kali majlis ilmu dalam tempoh seminggu termasuklah program bacaan Yassin dan doa selamat, kelas pengajian Islam serta pelbagai lagi.

“Setiap cerama yang dianjurkan juga melibatkan pelbagai jemputan daripada pendakwah bertauliah daripada Jabatan Agama Islam melaka (JAIM) dan setiap malam juga turut dianjurkan pengajian agama.

“Jadi kita berharap dengan wujudnya Unit IT ini ia mampu membantu pihak masjid melaksanakan pelbagai promosi terutama menerusi pelbagai platform di media sosial supaya mampu menarik lebih ramai ahli kariah terutama generasi muda untuk mengimarahkan lagi masjid lama ini,” katanya.

Terdahulu, Ameral telah mewakili pihak pengurusan masjid menerima anugerah yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Kejayaan itu melayakkan masjid itu menerima sijil, plak dan wang tunai sebanyak RM3,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

90
Kongsi :
Previous post LIMA SEBAB PERLU KE MUZIUM HANG TUAH
Next post BAJET 2025 : WUJUD GERAN KHAS UNTUK KOPERASI SURAU, MASJID
Ubah saiz-+=