Sorting by

×

HANG TUAH CENTRE, MUZIUM PERTAMA GUNA TEKNOLOGI AI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DUYONG 4 Oktober – Muzium Hang Tuah yang terletak di Perkampungan Hang Tuah di sini merupakan muzium pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kurator Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Norzaifirah Zaini berkata muzium yang mempamerkan kisah pengembaraan Hang Tuah sebagai legenda pahlawan Melayu itu baharu dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Oktober lalu.

Katanya, segmen dalam muzium terbabit dibahagikan kepada dua, iaitu Ruang Hang Mahmud dan Ruang Dang Merdu yang mana ia diambil bersempena nama ibu bapa kepada Hang Tuah.

“Lebih 90 peratus pameran dalam Muzium Hang Tuah ini menggunakan teknologi AI, ‘virtual reality’, hologram, konsep interaktif dan pelbagai lagi.

“Muzium Hang Tuah ini menampilkan wajah dan nafas baharu di mana setiap sudut dalam muzium ini sarat dengan informatif bukan sahaja mengenai Hang Tuah, namun dapat menimba ilmu mengenai peradaban sebuah bangsa.

“Terdapat juga sudut yang menggunakan teknologi pancaran projektor, slaid video bergerak dan memerlukan tindak balas dari pengunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, jelasnya Muzium Hang Tuah itu beroperasi setiap hari Selasa hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 5 petang manakala hari Isnin muzium itu ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Tiket masuk ke Muzium Hang Tuah serendah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak yang merupakan warganegara.

“Bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), muzium ini menjadikan satu nilai tambah dalam menarik kehadiran pelancong ke Negeri Melaka seterusnya mampu melonjakkan lagi jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post BAJET 2025: PERKASA KEBAJIKAN PENIAGA KECIL
Next post MALAYSIA IKTIRAF SUKAN ‘RENANG SIRIP’
Ubah saiz-+=