LITTLE INDIA MELAKA ‘BERCAHAYA’ 16 HINGGA 30 OKTOBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 3 Oktober – Little India di Jalan Bendahara, di sini, bakal ‘sibuk’ dengan penganjuran Bazar dan Pesta Deepavali yang dijadual berlangung pada 16 hingga 30 Oktober depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini suasana Little India akan lebih meriah apabila menjadi lokasi tumpuan penganut agama Hindu yang akan membuat persiapan sempena sambutan Pesta Cahaya.

Beliau yang juga Pengerusi Program memaklumkan, kira-kira 50 peniaga akan menjual pelbagai kelengkapan seperti pakaian, makanan dan alat tradisi menyambut perayaan.

“Sambutan di bazar kali ini lebih meriah dan menarik dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi membuat muruku, biskut serta kuih tradisional masyarakat India.

“Tiada penutupan jalan seperti tahun lalu, namun sasaran kehadiran pengunjung dijangka akan lebih ramai iaitu sekitar 30,000 hingga 40,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.

“Ia berikutan pelaksanaan program Zon Bebas Kenderaan yang setiap minggu menarik ribuan pengunjung, tarikh bazaar juga turut membabitkan hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pelaksanaan Bazar dan Pesta Deepavali di sebuah restoran, di sini, malam tadi.

Menurut Shanmugam, perasmian bazar dan pesta berkenaan dijangka akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 27 Oktober depan.

Selain itu, tambahnya, kemeriahan bazar tersebut akan ditingkatkan pada 10 malam terakhir dengan konsert dan persembahan artis tempatan.

“Tahun ini kita bawa sedikit kelainan dari segi aktiviti dan lebih menarik lagi kita turut membawakan Zubir Khan untuk membuat persembahan dan ia dijangka bakal mencuri tumpuan ramai.

“Kita harap orang ramai tanpa mengira bangsa dan kaum untuk sama-sama memeriahkan Bazar dan Pesta Deepavali ini nanti,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post TINDAKAN SEGERA BAIKI LUBANG BENAM – JKR MELAKA
Next post AKRI 2024: UTEM RANGKUL DUA KEMENANGAN
Ubah saiz-+=