WARGA TVET PERKASA KEDAULATAN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 2 Oktober – Warga Politeknik Merlimau Melaka (PMM) berpeluang untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai peranan rakyat Malaysia dalam aspek pertahanan negara menerusi Seminar Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) berlangsung di Dewan Platinum PMM, baru-baru ini.

Seminar menghimpunkan 1,200 peserta itu membincangkan tajuk pembentangan ‘Pemeliharaan Kedaulatan Negara; Peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Penyumbang Kepada Pembangunan Tranformasi Angkatan Masa Hadapan (AMH)’.

Pengarah PMM, Norizam Sekak berkata amat penting bagi setiap belia di negara ini untuk memahami WoGoS dengan sebaiknya bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa berada ditahap yang terbaik.

“Penceramah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pengarah Tranformasi, AMH, Markas ATM Kolonel Kaharuddin Katan, memberikan penerangan amat jelas kaitan antara Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan peranan warga pertahanan terutama dalam pendidikan TVET.

“PMM memilih tajuk ini bagi memberikan pendedahan kepada peserta bahawa setiap rakyat Malaysia adalah warga pertahanan. Perubahan teknologi Moden dalam pertahanan memerlukan kemahiran TVET yang tinggi.

“Selain itu peserta didedahkan berkaitan ancaman teknologi dan bagaimana cara menanganinya demi kestabilan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Norizam berkata, peserta ditemui menyatakan bahawa mereka mendapat satu penerangan dan ilmu baharu mengenai peranan sebagai warga pertahanan di Malaysia.

“Tanggapan selama ini bahawa pertahanan negara hanya dipertanggungjawabkan semata-mata kepada tentera dan pasukan keselamatan adalah silap.

“Kini mereka sedar bahawa pelajar TVET juga salah satu elemen penting dalam pertahanan negara. Perkembangan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja dipelajari untuk kemajuan industri tetapi hendaklah digunakan bagi memastikan pertahanan dan kedaulatan negara terjamin,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada wakil Sekretariat Askar Wataniah Politeknik Malaysia (SAWP), Pegawai Memerintah Batalion Ke-3, Rejimen 501 Askar Wataniah (AW), Pegawai Pemerintah 23 Skn RAJD AW, wakil Politeknik dan Kolej Komuniti Melaka, Pengurusan PMM serta warga pensyarah dan pelajar PMM menjayakan seminar dianjurkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post GAJI RENDAH ANTARA PUNCA SIMPANAN KWSP TIDAK MENCUKUPI – PENGERUSI
Next post DIJEMPUT AJAL KETIKA MEMANDU
Ubah saiz-+=