Sorting by

×

SAMUN EMPAT SEKELUARGA, ENAM LELAKI, SEORANG WANITA DICEKUP

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 30 September – Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita yang disyaki melakukan samun bersenjata dalam kejadian Kampung Bukit Larang, Pernu, minggu lalu.

Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 37 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 26 dan 27 September di sebuah inap desa di Sebatu, Merlimau.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis dibuat oleh anak mangsa yang berusia 19 tahun.

Katanya, sebelum kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, keluarga itu terdengar seorang wanita memberi salam dan suara itu didakwa seperti kenalan ibunya tetapi tidak diendahkan sebelum seorang lelaki pula datang memberi salam.

“Tidak lama selepas itu tiga lelaki didakwa bertindak memecahkan pintu kayu lalu menceroboh ke dalam rumah dan masuk ke bilik ayah serta ibunya.

“Pengadu mendakwa seorang daripada lelaki terbabit adalah rakan ayahnya. Lelaki terbabit dikatakan bertindak memukul dahi, pipi serta bahagian belakang ayahnya menggunakan kayu cota selain dompet bapa wanita itu turut dirampas.

“Ibu wanita berkenaan turut tercedera dibahagian tangan ketika cuba menghalang suaminya daripada dipukul,” katanya.

Menurut Christopher, seorang daripada suspek yang bersenjatakan parang kemudian menyerbu ke bilik wanita itu dan suaminya sebelum mengarahkan mereka keluar.

“Sebelum mengumpul kesemua mangsa di ruang tamu, suspek turut mengeledah bilik wanita terbabit dan mengambil jam tangan serta dompet selain turut merampas telefon bimbit.

“Kesemua suspek yang beredar pada jam 4.20 turut mengambil telefon bimbit Iphone XS Max milik pengadu dan Oppo A15 kepunyaan bapa wanita terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, suspek ada memaklumkan mereka mencari individu bernama ‘Black’ berkait satu kes rogol ketika disoal mangsa.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek positif syabu dan turut memiliki dua hingga lapan rekod jenayah.

“Selain telefon bimbit, polis turut merampas sebuah Proton X50, parang, kad pengenalan serta lesen memandu atas nama seorang individu selain kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post LELAKI WARGA EMAS DIPENJARA 10 BULAN, MILIKI WANG AMERIKA SYARIKAT PALSU
Next post RUMAH TRANSIT DUN DUYONG SUDAH SIAP
Ubah saiz-+=