PENGAKAP LAUT TIMBA ILMU DI PHN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 30 September – Peluang menjejak kaki ke Pusat Hidrografi Nasional (PHN) memberi pengalaman menakjubkan buat Seketariat Pengakap Laut Negeri Melaka apabila didedahkan sistem pertahanan kedaulatan negara.

Pesuruhjaya Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka, Muhammad Zulhusnie Khalib berkata, lawatan baru-baru itu adalah julung kali diadakan pihaknya dan membabitkan seramai 62 ahli pengakap serta 14 orang pemimpin.

Katanya, lawatan ke PHN yang juga merupakan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertujuan memberikan pemahaman dan pengetahuan dalam operasi termasuk fungsi pusat berkenaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Banyak ilmu dan pengetahuan yang dapat menerusi lawatan ini kerana ia juga terbabit dalam membantu pembangunan sesebuah pelabuhan dalam negara ini selain ahli pengakap juga dapat melihat sendiri alat-alat elektronik yang diguna pakai bagi tujuan pemetaan perairan negara.

“Di situ juga terdapat barangan tinggalan bersejarah seperti loceng HMS Malaya dan alat lain yang digunakan bagi mengukur perairan negara ketika dahulu,” katanya.

Whatsapp Image 2024 09 30 At 1.51.17 Pm
AHLI Pengakap Laut diberi penerangan oleh petugas PHN.

Menurutnya, sepanjang lawatan itu, bukan sahaja ahli malah pemimpin yang terbabit juga dapat menimba ilmu baru dalam menjadi seorang Pengakap Laut yang terlatih.

“Sepanjang lawatan peserta bukan hanya didedahkan tentang fungsi dan peranan PHN semata-mata tetapi turut dibawa melawat ke setiap seksyen yang terdapat di sana.

“Peluang ini bagi membolehkan peserta mendalami asas pemetaan peta selain dapat bertanya soalan secara terus kepada anggota PHN,” katanya.

Jelas Zulhusnie, menerusi impak positif yang diperoleh daripada lawatan dianjurkan itu, pihaknya bercadang menjadikan lawatan ini lembaran baru untuk ahli pengakap mendalami ilmu kelautan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

52
Kongsi :
Previous post SEMUA KAUNTER SAMB BUKA WAKTU REHAT BERMULA ESOK
Next post ANAK PENOREH GETAH KINI ‘ANAK EMAS’ UTEM
Ubah saiz-+=