PEMANGKIN INISIATIF HIJAU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 September – Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2024 menerima sebanyak 50 penyertaan daripada 30 agensi kerajaan, swasta dan komuniti sekitar negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Ts. Mohd Hafizam Mustaffa berkata AHM 2024 mempertandingkan sebanyak empat kategori iaitu Pembudayaan Hijau; Projek Hijau; Inovasi Hijau dan Program Komuniti Hijau.

“Anugerah ini dianjurkan sejak 2015 lagi yang bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada agensi kerajaan dan swasta, industri serta komuniti yang melaksanakan amalan teknologi hijau yang lestari bagi melindungi alam sekitar.

“Anugerah Hijau Melaka dianjurkan secara dwi tahunan dan tahun ini merupakan tahun ketujuh penganjurannya. Penganugerahan dibahagikan kepada Anugerah Most Valuable Green Impact, Anugerah Cemerlang, Anugerah Emas, Anugerah Perak dan Anugerah Gangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Anugerah Hijau Melaka 2024 di sebuah hotel, semalam yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ts. Mohd Hafizam berkata AHM berbeza daripada anugerah yang lain kerana objektif utamanya adalah lebih kepada memberi penghargaan kepada mereka yang melestarikan alam sekitar.

“Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin semangat atas kerjasama semua pihak yang mana kita terima sambutan sangat menggalakkan daripada pelbagai lapisan dan golongan.

“Sebenarnya masih banyak usaha perlu dilaksanakan, AHM ini adalah sebahagian daripada perancangan menggerakkan inisiatif hijau di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post KAMI PENJAGA PUSARA
Ubah saiz-+=