MBMB RANGKUL ANUGERAH KHAS MOST GREEN IMPACT, ZON BEBAS KENDERAAN DIJADIKAN PENANDA ARAS

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 September – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merangkul Anugerah Khas Most Green Impact menerusi pelaksanaan Projek Zon Bebas Kenderaan pada Majlis Anugerah Hijau Melaka 2024 malam tadi.

Setiausaha MBMB, Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata Zon Bebas Kenderaan yang berlangsung selama 54 jam merupakan cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Katanya, MBMB hanyalah agensi pelaksana Zon Bebas Kenderaan bagi menyumbang dalam semua aspek kehidupan terutama persekitaran, sosial dan ekonomi negeri.

“Kejayaan ini telah ditunjukkan menerusi jumlah statistik ketibaan pelancong pada setiap minggu, kutipan tiket pusat-pusat pelancongan dan kadar pembebasan karbon dalam kawasan tersebut.

“Anugerah ini bukan hanya kejayaan MBMB malahan rangkuman inklusif melibatkan agensi agensi-agensi; pemegang taruh dan pemain industri pelancongan yang berada dalam kawasan Zon Bebas Kenderaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Azlan yang mewakili Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman turut menyambut baik sekiranya ada negeri luar dan kawasan yang mahu melaksanakan Zon Bebas Kenderaan.

Jelasnya, Melaka kini telah menjadi satu penanda aras buat negeri-negeri lain untuk diangkat menjadi contoh pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

“MBMB telah mengadakan satu mini konvensyen melibatkan seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri bagi perkongsian input melaksanakan Zon Bebas Kenderaan di tempat lain.

“Kita juga menyambut baik sekiranya ada pihak yang mahu melaksanakan dan meminta bantuan MBMB dari segi penyelarasan yang telah dijadikan ‘benchmark’ untuk Zon Bebas Kenderaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post MAIM CAKNA KEBAJIKAN ASNAF, AGIH LEBIH RM102 JUTA DANA ZAKAT
Next post KRT, KOMUNITI ‘DUTA’ PROMOSI TALIAN 997
Ubah saiz-+=