TAK LOKEK LEMPAR SENYUMAN

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BUKIT BARU 30 September – Tidak lokek melemparkan senyuman terutama ketika melayan pelanggan dalam kalangan asnaf, antara kriteria yang melayakkan wanita ini menerima Anugerah Pembekal Terbaik Cawangan Merlimau daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Junaidah Rahman, 49, pengusaha Pasar Mini Zul & June mula menyertai program Pembekal Bantuan Makanan Bulanan MAIM sejak tiga tahun lalu dan sepanjang tempoh itu premis miliknya kerap dikunjungi asnaf mahu mendapatkan pelbagai jenis barangan.

“Alhamdulillah perkhidmatan dan layanan mesra saya bersama suami terhadap saudara asnaf MAIM yang datang mendapatkan barangan di kedai kami dihargai dengan pemberian anugerah ini.

“Tidak dinafikan saya berasa amat gembira tidak dapat digambarkan perasaan itu, semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat untuk kami berikan perkhidmatan lebih baik selepas ini dan memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Junaidah menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad pada Majlis Apresiasi dan Dialog Ramah Mesra Setiausaha MAIM Bersama Pembekal Bantuan Makanan Bulanan MAIM di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) di sini, pada Sabtu.

Pada majlis sama, anugerah turut disampaikan kepada lapan lagi penerima membabitkan kategori Pembekal Terbaik Daerah Melaka Tengah, Pembekal Terbaik Daerah Alor Gajah dan Pembekal Terbaik Daerah Jasin.

Turut disampaikan Anugerah Pembekal Mesra Pelanggan, Pembekal Pembayar Zakat Tertinggi, Pembekal Terbersih dan Kemas, Pembekal Kondusif dan Rapi serta Penyiasat Pembekal Terbaik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

72
Kongsi :
Previous post ERAT KERJASAMA MELAKA-BAHRAIN
Next post KELAS MENJAHIT PERCUMA DUN DUYONG
Ubah saiz-+=