KRT, KOMUNITI ‘DUTA’ PROMOSI TALIAN 997

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

REMBIA 28 September – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mahupun mana-mana organisasi dalam komuniti setempat perlu memperluaskan kesedaran talian 997 bagi mengatasi isu jenayah penipuan dalam talian.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, Kerajaan Negeri mahu memberi penekanan terhadap kepentingan talian itu memandangkan jenayah penipuan ‘scammer’ semakin meningkat saban hari.

Katanya, talian 997 yang ditubuhkan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) mampu bertindak secara terus jika berlaku sebarang kes jenayah penipuan dalam talian.

“Kita minta KRT atau mana-mana organisasi dan jawatankuasa penduduk perlu perluaskan kesedaran berhubung talian ini bagi memastikan penduduk peka bahawa kerajaan menyediakan talian ini untuk membendung jenayah ‘scammer’ yang berlaku berbagai cara.

“Penjenayah ini tidak akan terus berhenti dan mencari pelbagai cara ditambah pula dengan perkembangan pesat kepintaran pembuatan (AI) perkara ini semakin membimbangkan.

“Jadi jika berlaku sebarang jenayah ini talian NSRC yang berkolaborasi dengan Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan tindakan segera seperti menutup semua akaun dan transaksi jika menerima aduan berhubung isu ‘scammer’ ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesihatan dan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak di Dewan Terbuka Taman Samarinda, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Perubatan) Pakar Perunding Kanan Pediatrik Hematologi dan Onkologi Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Hamidah Alias; Pengerusi Program, Prof Madya Dr. Farinawati Yazid serta tetamu lain.

Menurut Fairul Nizam, jenayah penipuan dalam talian di negara ini direkodkan meningkat 23 peratus tahun ini membabitkan nilai kerugian RM687 juta.

“Sebanyak 19,224 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September pada tahun ini berbanding 15,658 kes bagi tempoh sama tahun lepas mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

43
Kongsi :
Previous post MBMB RANGKUL ANUGERAH KHAS MOST GREEN IMPACT, ZON BEBAS KENDERAAN DIJADIKAN PENANDA ARAS
Next post SEMUA KAUNTER JPN MELAKA BUKA PADA WAKTU REHAT BERMULA 1 OKTOBER
Ubah saiz-+=