WTD 2025: GEORGIA SERAH ‘BATON’ KEPADA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 28 September – Melaka secara rasminya bakal mewakili Malaysia sebagai tuan rumah World Tourism Day (WTD) 2025.

Ia selepas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menerima plak penganjuran WTD 2025 daripada Georgia yang merupakan tuan rumah WTD 2024.

Plak penganjuran itu diterima pada Majlis Makan Malam Gala di Paragraph Freedom Square, Luxury Collection Hotel, di Tbilisi, Georgia, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri delegasi Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Ab Rauf dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau berkata, WTD 2025 bakal menghimpunkan lebih 150 Menteri-Menteri Pelancongan dari seluruh dunia pada acara perhimpunan pelancongan terbesar yang bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’.

Beliau optimis, kedatangannya bersama delegasi Kerajaan Negeri ke Georgia sempena WTD 2024 dapat mempelajari serta memanfaatkan kemeriahan acara tersebut di Melaka setahun dari sekarang.

“Kita akan memastikan Malaysia khususnya Melaka bakal diserikan dengan acara penuh gilang-gemilang dalam meraikan delegasi pelancongan antarabangsa pada WTD 2025 dan WTC 2025 ke bumi bersejarah negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

47
Kongsi :
Previous post ZON BEBAS KENDERAAN MELAKA JADI CONTOH, IKUTAN NEGERI LAIN – MENTERI
Next post MELAKA PECAH REKOD, 3,852 SUKARELAWAN SERTAI WORLD CLEAN UP DAY
Ubah saiz-+=