Sorting by

×

MELAKA PECAH REKOD, 3,852 SUKARELAWAN SERTAI WORLD CLEAN UP DAY

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KLEBANG 28 September – Melaka menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sekali lagi memecahkan Malaysia Book Of Record (MBOR) apabila merekodkan sukarelawan teramai sempena program World Clean Up Day 2024.

Ia selepas seramai 3,852 sukarelawan menyertai aktiviti pembersihan yang berlangsung di Pantai Klebang, di sini, sekali gus memecah rekod lama 2,072 peserta yang disandang Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pencapaian itu merupakan sesuatu yang wajar dibanggakan sejajar dengan status Melaka sebagai negeri pelancongan.

Lebih bererti, kata beliau, program itu turut disertai lebih 1,500 pelajar dari 46 buah sekolah rendah dan menengah di bawah kawasan pentadbiran MBMB, sekali gus dapat mendidik dan memupuk kesedaran pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar dalam menjadikan negeri ini kekal ceria, indah dan bersih.

“Insya-Allah, di peringkat kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, kita akan terus memperkasa program pembersihan seperti World Clean Up Day ini dengan penglibatan segenap lapisan masyarakat.

“Usaha murni ini amat penting supaya kita dapat menyemai semangat cintakan negeri menerusi kempen-kempen kebersihan yang diadakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Program Malaysia Book Of Records World Clean Up Day 2024 MBMB di Dataran Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Setiausaha MBMB Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Rais memaklumkan, Melaka menjadi antara negeri yang mendahului carta dalam aspek kebersihan dan keceriaan kawasan pelancongan apabila sering mendapat pujian pengunjung dan pelancong di platform media sosial.

Namun begitu, beliau meminta semua PBT dan syarikat konsesi pembersihan untuk tidak terus berada di zon selesa, sebaliknya perlu terus menggandakan usaha demi memastikan status itu terus dipertahankan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1727
Kongsi :
Previous post WTD 2025: GEORGIA SERAH ‘BATON’ KEPADA MELAKA
Next post MELAKA SMART PARKING LEBIH MUDAH, EFISIEN
Ubah saiz-+=