MUZIUM ALAM SEKITAR PERTAMA NEGARA DI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 28 September – Melaka bakal mewujudkan Muzium Alam Sekitar pertama di Malaysia, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata, hasrat itu bertujuan menjadikan muzium tersebut sebagai pusat tumpuan pendidikan dan kesedaran mengenai amalan kitar semula.
Optimis dengan cadangan itu, Rais menzahirkan hasrat tersebut kepada Kerajaan Persekutuan agar ia dapat direalisasikan sebagaimana Muzium Alam Sekitar di Jepun.
“Perkara ini masih di peringkat cadangan dan kita telah mengangkat ke peringkat kementerian untuk merealisasikannya.
“Saya percaya kewujudan Muzium Alam Sekitar yang pertama di negara ini bukan sahaja menjadi tempat tumpuan, malah ia juga bakal menjadi medan menyeluruh mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar khususnya berkaitan amalan kitar semula.
“Saya berharap hasrat ini dapat direalisasikan sebagaimana Muzium Alam Sekitar yang ada di Kitakyushu, Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Hijau Melaka 2024 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Ts. Mohd Hafizam Mustaffa dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata di peringkat Kerajaan Negeri, pihaknya akan meneliti dan mengkaji secara holistik mengenai perkara terbabit.
“Kita menyambut baik apabila Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut memberikan reaksi positif berhubung cadangan ini dan akan mengkaji sepenuhnya sebelum kertas cadangan dibentangkan.
“Saya percaya kewujudan muzium ini mampu memberi kesedaran serta memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan kelestarian alam sekitar khususnya di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.