48 PELAJAR MRSM TERENDAK KERACUNAN MAKANAN

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 27 September – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerima laporan 48 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak mengalami keracunan makanan sejak semalam.

Susulan laporan itu, Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membuat lawatan mengejut terhadap dewan makan sekolah berkenaan bagi melihat keadaan di fasiliti itu.

Katanya, dalam lawatan itu beliau bersama wakil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah mendapati ada beberapa perkara melibatkan isu kebersihan di fasiliti berkenaan.

“Memang didapati ada beberapa kes diberikan kompaun secara terus tadi dan ia lebih kepada aspek kekotoran yang mana terdapat najis tikus serta keadaan dapur yang tidak teratur.

“Bagaimanapun, punca penyebab keracunan belum lagi dikenal pasti, boleh jadi daripada dewan makan atau boleh jadi makanan berbungkus daripada koperasi, tetapi sudah tentu perkara ini diberikan perhatian serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ekspo TVET @ Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang tadi.

Terdahulu, seramai 48 daripada 663 pelajar di MRSM Terendak didapati mengalami simptom sakit perut dipercayai keracunan makanan dengan lapan daripada mereka dirawat di hospital namun telah dibenarkan pulang.

Dr. Asyraf Wajdi berkata kes keracunan makanan melibatkan pelajar MRSM Terendak bukan perkara baharu malah turut berlaku di beberapa MRSM lain sebelum ini.

“Pihak PKD tadi maklumkan mungkin dewan makan itu disita untuk beberapa hari bagi siasatan lanjut kerana didapati ada najis tikus.

“Saya beritahu kepada mereka jangan ada rasa teragak-agak kalau perlu diambil tidakan tegas, ambil tindakan tegas dan MARA sendiri sudah tentu kita berpandukan kepada hasil siasatan nanti.

“Alhamdulillah pelajar yang terlibat membabitkan Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sudah pulang ke asrama. Saya ambil kesempatan berjumpa pelajar terbabit dan kini keadaan mereka tidak lagi pada tahap serius,” katanya.

Bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang, beliau berkata, pengetua dan penyelia asrama perlu mengambi tanggungjawab secara berterusan bagi memastikan pengusaha dewan makan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain itu katanya, dalam lawatan mengejutnya juga terdapat kecenderungan pengusaha dewan makan mencari keuntungan berlebihan tanpa mengikut spesifikasi yang ditentukan.

“Seperti mana dalam kejadian di MRSM Taiping, saya memberikan isyarat paling keras, bukan sahaja ditamatkan kontrak tetapi bot yang kita pegang iaitu lebih RM200,000 akan diambil.

“Tidak cukup dengan itu, kes-kes seperti ini kita sudah mulakan saman dan tuntutan ganti rugi di mahkamah, jadi itu semua sebagai satu isyarat kepada mana-mana pengusaha dewan makan dan kontraktor terlibat kerana ia melibatkan soal kesihatan pelajar ,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

86
Kongsi :
Previous post MELAKA PILIHAN UTAMA PELABUR CHINA
Next post GRADUAN TVET KINI ‘TERHANGAT DI PASARAN’
Ubah saiz-+=