Sorting by

×

GRADUAN TVET KINI ‘TERHANGAT DI PASARAN’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 27 September – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini terbukti menjadi antara bidang yang semakin diterima anak muda apabila merekodkan lebih 408,000 enrolmen pelajar setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), terdapat 279 rangkaian institusi TVET di negara ini, di mana ia merupakan jumlah terbesar berbanding yang lain.

Malah, beliau berkata, statistik menunjukkan kebolehpasaran graduan TVET di bawah KKDW mencapai 98.7 peratus, yang bermaksud setiap 100 graduan institusi TVET KKDW, 98 daripadanya berjaya mendapatkan pekerjaan, menjadi usahawan atau melanjutkan pengajian.

Tambahnya, ia jelas menunjukkan keberkesanan ekosistem TVET di bawah KKDW dalam melahirkan graduan berprestasi tinggi dan berkerjaya, selain menjadi yang terhangat di pasaran.

“Saya melihat banyak institusi TVET semakin proaktif dalam menyesuaikan kursus yang ditawarkan agar selari dengan keperluan industri yang sentiasa berubah.

“Beberapa institusi telah beralih kepada bidang seperti kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), bahan termaju (advanced materials), teknologi elektronik, mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan penternakan. Selain itu, kursus kemahiran seperti kulinari, reka bentuk fesyen, elektronik dan elektrikal juga terus diperbaharui bagi memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Semua inisiatif ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga mempunyai kepakaran yang tinggi, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo TVET @ KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri yang mewakili Ketua Menteri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, penganjuran Ekspo TVET @KKDW telah berjaya mencapai hasrat, bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran, bahkan menjadi platform kepada kerjasama produktif antara institusi TVET dan syarikat-syarikat industri dalam pelbagai bidang.

“Gunakan peluang seperti Ekspo ini untuk berinteraksi terus dengan industri, mendapatkan pandangan serta mempelajari keperluan-keperluan terkini, sekali gus memperluaskan rangkaian kerjaya anda.

“Dengan pengukuhan ‘supply’ dan ‘demand’ dalam ekosistem TVET yang semakin meluas, insya-Allah agenda TVET akan kekal relevan dan berdaya saing, lantas menjadi penyumbang utama kepada kemajuan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

191
Kongsi :
Previous post 48 PELAJAR MRSM TERENDAK KERACUNAN MAKANAN
Next post MRSM TERENDAK DAIF, MARA SALUR RM400,000
Ubah saiz-+=