MRSM TERENDAK DAIF, MARA SALUR RM400,000

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 27 September – Fasiliti di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak dianggap berada dalam keadaan daif berikutan keadaan tandas dan bilik guru yang tidak boleh digunakan sepenuhnya serta perlu segera diselenggara.

Keadaan fasiliti yang daif itu didedahkan sendiri oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, susulan lawatan mengejut beliau ke sekolah berasrama penuh itu hari ini.

Mengulas lanjut Dr. Asyraf Wajdi berkata, kemudahan di MRSM Terendak disifatkan sebagai paling daif dan uzur jika dibandingkan dengan MRSM lain dilawatinya secara mengejut sebelum ini.

“Saya tidak mahu menunding jari, paling penting saya lihat sendiri berbanding 39 daripada 57 MRSM dilawati, menerusi penilaian saya sendiri, MRSM Terendak amat daif dan uzur terutama melibatkan fasiliti tertentu.

“Dalam konteks ini saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk MARA memberi keutamaan menaik taraf terutama fasiliti asas termasuk bilik guru yang salah satunya tidak boleh digunakan langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Ekspo TVET @ Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) petang tadi.

Whatsapp Image 2024 09 27 At 6.58.41 Pm
DR. Asyraf Wajdi dalam lawatan mengejut ke dewan makan MRSM Terendak.

Mengulas lanjut, Dr. Asyraf Wajdi berkata susulan itu, beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM400,000 bagi penyelenggaraan segera beberapa fasiliti daif di sekolah berkenaan.

“Saya telah mengarahkan pengetua membuat senarai, malah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia juga ada, mereka perlu menyenaraikan keutamaan (perlu diselenggara). Tempoh sebulan saya berikan, paling penting tandas, bilik guru dan keadaan asrama mesti berada pada tahap yang baik.

“Malah saya telah meluluskan tidak kurang daripada RM400,000 untuk diselenggara semua fasiliti ini bagi memastikan pelajar mendapat yang terbaik. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku pada usia MRSM Terendak menjangkau 41 tahun yang mempunyai seramai 633 pelajar dan saya mengambil serius perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan pelajar berikutan MRSM Terendak sering diancam monyet.

“Isu paling besar adalah isu monyet sebenarnya, sudah dibuat jaring dan kebetulan ketika lawatan saya tadi, monyet ramai yang menyambut saya, jadi perkara itu bukan sahaja berlaku di MRSM Terendak malam Kem Terendak secara keseluruhannya.

“PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) sudah beberapa kali datang dan saya risau keselamatan pelajar, namun dengan adanya langkah berjaga-jaga untuk menangani perkara tersebut, kita mampu meminimakan risiko tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

171
Kongsi :
Previous post GRADUAN TVET KINI ‘TERHANGAT DI PASARAN’
Ubah saiz-+=