MELAKA JADI PUSAT TVET ARAS TINGGI – TPM

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 27 September – Melaka dipilih sebagai salah sebuah pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Aras Tinggi atau Hi-TVET, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid memaklumkan bidang Hi-TVET itu telah dimulakan di Melaka melalui Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan memberi fokus kepada bidang kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan robotik.

Jelas beliau, UTeM telah menyelaraskan program itu bersama empat lagi universiti termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam memenuhi keperluan tenaga kerja dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) ke negara ini.

“Selain itu, di dalam Hi-TVET ini, Composites Technology Research Malaysia (CTRM) turut menawarkan tempat untuk lepasan pelajar-pelajar TVET dalam bidang aeroangkasa, bukan sahaja untuk bekerja di CTRM Melaka, bahkan mereka juga mempunyai kolaborasi dengan Airbus dan Boeing untuk menghantar lepasan Hi-TVET ini ke luar negara bagi mendalami bidang ini.

“Pada masa sama, penekanan juga diberikan terhadap sektor MRO (Maintenence, Repair dan Overhaul) kepada pesawat-pesawat ini, di mana kita akan mulakan dengan UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Ekspo TVET @ Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri yang mewakili Ketua Menteri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, selain bidang AI, IoT, robotik dan aeroangkasa, Hi-TVET juga memberi tumpuan terhadap bidang maritim dan rel kereta api yang mendapat permintaan tinggi dalam sudut tenaga kerja.

Mengambil contoh bidang rel dan kereta api, misalnya, beliau berkata, Malaysia telah bekerjasama dengan China yang telah memberikan pemindahan teknologi dan pemindahan kepakaran kepada pelajar-pelajar TVET di negara ini.

“Ia bukan hanya mengajar pelajar-pelajar kita untuk menjadi kapten membawa kereta api, bahkan dalam bidang penyelenggaraan enjin dan gerabak, selain turut memberi fokus dari segi ‘railing’,” katanya.

Tambah beliau, dengan kerancakan pelabur khususnya dari luar negara masuk ke Malaysia, graduan-graduan TVET bakal mendapat permintaan tinggi dalam sudut pekerjaan memandangkan kebanyakan negara maju kini telah yakin dengan kemudahan dan tenaga kerja berkemahiran yang dilahirkan oleh institusi-institusi yang terdapat di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
Kongsi :
Previous post LORONG ‘ALWAYS GREEN’ MASJID TANAH-SUNGAI UDANG KURANGKAN KESESAKAN
Next post 17 GRADUAN TVET TAHFIZ DITERIMA BEKERJA, 622 SEDANG DILATIH
Ubah saiz-+=